TOKYO – Malaysia dan Jepun bersetuju untuk memastikan Selat Melaka dan Laut China Selatan bebas digunakan bagi tujuan pelayaran oleh semua negara.
Perdana Menteri Jepun, Shinzo Abe berkata, rantau Indo-Pasifik termasuk Laut China Selatan perlu bebas dan terbuka berlandaskan kedaulatan undang-undang serta dipelihara sebagai laluan awam global untuk keamanan dan kemakmuran serantau.
“Jepun sedia bekerjasama dengan mana-mana jua negara dalam menyokong konsep ini bersama-sama Malaysia. Saya berazam untuk meningkatkan lagi kerjasama demi keamanan dan kestabilan serantau termasuk di kawasan keselamatan maritim,” katanya pada sidang akhbar bersama dengan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad yang sedang berada di Tokyo kerana melakukan lawatan kerja ke Jepun.
Sidang akhbar itu disiarkan secara langsung melalui saluran televisyen kebangsaan dan media sosial.
Dr. Mahathir melakukan lawatan kerja tiga hari ke negara itu yang merupakan lawatan sulung beliau ke luar negara sejak menjadi Perdana Menteri ketujuh Malaysia berikutan kemenangan mengagumkan Pakatan Harapan pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) pada 9 Mei lalu. – Bernama











