Majlis Rumah Terbuka PM terima lebih 50 ribu kunjungan - Utusan Malaysia

Majlis Rumah Terbuka PM terima lebih 50 ribu kunjungan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 15 Jun – Majlis Rumah Terbuka Perdana Menteri dan Anggota Kabinet 2018 sempena sambutan Aidilfitri yang diadakan di Kompleks Sri Perdana, Putrajaya hari ini menerima lebih 50 ribu kunjungan.

Walaupun majlis tersebut dijadualkan bermula pukul 10 pagi sehingga 4.30 petang namun tinjauan Utusan Online difahamkan, orang ramai secara beransur-ansur mula memenuhi segenap ruangan di situ seawal pukul 8 pagi lagi.

Ketika ditanya kepada seorang pengunjung, Zulkarnain Hamzah yang merupakan seorang kerani, dia yang kali pertama berkunjung ke Kompleks Sri Perdana menzahirkan rasa yang cukup teruja.

“Sebenarnya rumah keluarga mertua saya cuma di Kuala Lumpur. Alang-alang sudah balik ke sini dan tak jauh pula daripada Putrajaya, sejak semalam lagi saya sudah berpakat dengan isteri untuk singgah ke sini sekejap.

“Tujuannya sekadar mahu lihat bagaimana situasinya dan setelah saya hadir sendiri ke sini, lautan manusia ini sudah cukup memberi jawapan dan gambaran yang jelas tentang perpaduan dan keharmonian yang kita kecapi,” ujarnya kepada Utusan Online, di sini hari ini.

Sementara itu, seorang lagi pengunjung, Wong Teck Eng, yang menetap di Tanjung Malim berkata, apabila mendapat tahu Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad menganjurkan majlis rumah terbuka itu, dia terus memasang niat untuk menghadirinya.

“Sambutan perayaan ini sudah lama dikongsikan bersama-sama. Jadi demi mengeratkan perpaduan antara sesama kita, walaupun saya bukan seorang Melayu atau beragama Islam, tidak salah bagi saya untuk kami meraikan mereka sebagai tanda menghormati.

“Walau bagaimanapun, saya sedikit terkilan kerana tidak berkesempatan untuk bersalam-salaman dengan Tun M dan juga beberapa pemimpin Pakatan Harapan yang lain kerana bilangan orang beratur cukup ramai,” ujarnya.

Dalam sidang akhbar yang diadakan, Tun M sempat mengucapkan ribuan terima kasih kepada pengunjung yang hadir dan ucapan itu telah menerima tepukan yang gemuruh dan sorakan tanda menghargai.

Ujar Tun M, beliau memohon maaf kerana tidak bersalaman dengan semua orang dan meminta setiap perkara yang sedang dihadapi kerajaan Pakatan Harapan (PH) kini, rakyat dapat menanti penyelesaiannya dengan sabar.

“Kerajaan berjanji akan menunaikan setiap perkara yang diusulkan PH khas buat rakyat cuma kami meminta rakyat dapat sedikit masa untuk kami sempurnakannya,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN