KUALA LUMPUR – Kembalinya Tun Dr. Mahathir Mohamad memegang jawatan Perdana Menteri selepas berakhirnya Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) bulan lepas telah memulihkan kepercayaan pihak industri Jepun terhadap pasaran Malaysia, kata seorang pegawai tinggi Jepun hari ini.
Duta Jepun ke Malaysia, Dr. Makio Miyagawa berkata, sejak tiga tahun lalu pihak industri Jepun teragak-agak untuk membuat pelaburan ekoran situasi politik dan ekonomi Malaysia.
“Laporan media beberapa tahun lalu tidak memberikan kami prospek yang baik untuk masa depan Malaysia, khususnya berkaitan kerjasama strategik, dasar perindustrian dan strategi ekonomi.
“Dengan kembalinya Tun Dr. Mahathir, saya yakin pihak industri kami amat gembira dan positif untuk terlibat dengan industri di Malaysia,” katanya di ibu pejabat Bernama di sini hari ini.
Jepun adalah penyumbang pelaburan langsung asing (FDI) terbesar Malaysia. Tahun lepas, stok FDI ke Malaysia kira-kira AS$13 bilion (RM51.7 bilion)
Miyagawa berkata, dasar-dasar baharu yang diumumkan kerajaan Malaysia mencerminkan negara sudah bersedia untuk menjaga ‘ rumahnya secara lebih teratur’ dengan melangsaikan hutangnya dan Jepun turut berminat bekerjasama dengan pentadbiran baharu itu.
Ujarnya lagi, Perdana Menteri, Jepun Shinzo Abe tidak sabar untuk bertemu Dr. Mahathir semasa lawatannya ke Tokyo sempena Persidangan Antarabangsa Masa Depan Asia ke-24 dari 11 hingga 12 Jun ini.
Kedua-dua pihak kini merancang persiapan memandangkan ia lawatan pertama Dr. Mahathir sejak mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri Malaysia ketujuh bulan lepas.
Semasa menjadi Perdana Menteri keempat dari tahun 1981-2003, Dr. Mahathir memperkenalkan Dasar Pandang Ke Timur yang telah mewujudkan tanda aras kepada hubungan dua hala Malaysia-Jepun.
Mengulas mengenai hasrat Dr. Mahathir untuk menghidupkan semula dasar tersebut. – Bernama










