FLORENCE, Itali – Jaguh dunia lima kali, Marc Marquez mengakui sangat menghormati pelumba Ducati, Jorge Lorenzo yang melakukan kejutan meraih kemenangan pertama pada Grand Prix (GP) Itali semalam.
Pelumba Repsol Honda tersebut berkata, sekiranya dia tidak terjatuh sekalipun pada perlumbaan tersebut ia tetap sukar menandingi Lorenzo selepas jentera Desmosedici GP18 mempamerkan prestasi yang cukup baik ketika beraksi di Litar Mugello.
Marquez dilihat bekerja keras ketika bersaing hebat dengan Lorenzo di kelompok hadapan, namun kedudukan tersebut tidak bertahan lama apabila Marquez terjatuh ketika perlumbaan berbaki 19 pusingan.
Bagaimanapun, Marquez kembali meneruskan perlumbaan, namun usahanya untuk mengejar semula kedudukan teratas tidak tercapai apabila terpaksa berpuas hati menamatkan perlumbaan di tempat ke-16.
Saingan tersebut dimenangi Lorenzo selepas menamatkan perlumbaan dengan catatan 41 minit 43.230 saat. Lebih manis lagi, rakan sepasukannya, Andrea Dovizioso di kedudukan kedua dan tempat ketiga menjadi milik Valentino Rossi.
“Untuk menaiki podium di sini sangat sukar kerana selepas insiden kemalangan itu jentera tidak lagi sempurna seperti awal saingan. Saya akui Lorenzo sangat laju berbanding semua pelumba lain.
“Dia (Lorenzo) bijak mengawal jentera dan saya cuba untuk memintasnya tetapi ia agak sukar untuk menandingi Ducati di litar ini. Apa pun kami perlu melupakan insiden minggu ini dan perlu memperbaiki segala kelemahan yang ada,” katanya.
Dalam pada itu, pelumba Sepanyol itu turut menjelaskan, terdapat kelemahan pada jentera Honda di Litar Mugello terutama bahagian tayar hadapan yang kurang cengkaman ketika mengambil selekoh.
“Pada saingan tersebut saya cuba mengelak daripada tergelincir, namun keadaan tayar keadaan litar yang menuruni bukit menyukarkan saya untuk melakukan tindakan sedemikian. Apa pun ia telah terjadi dan saya akan bangkit selepas ini,” ujarnya.
Meskipun tidak mengutip mata sekalipun, Marquez masih kekal sebagai pendahulu perlumbaan dengan meraih 95 mata. Rossi di tangga kedua dengan 72 mata dan diikuti Maverick Vinales di kedudukan ketiga dengan mengumpul 67 mata. – Agensi











