Lonjakan populariti e-sukan - Utusan Malaysia

Lonjakan populariti e-sukan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SUKAN elektronik (e-sports) atau e-sukan semakin berkembang di seluruh dunia dengan adanya pelbagai permainan popular yang boleh diakses melalui te­lefon bimbit.

Memuatkan artikel berkaitan…

Permainan baharu seperti Mobile Legend dan Arena Of Valor yang merupakan tarikan terkini permainan dalam telefon bimbit turut dipertan­dingkan di pentas antarabangsa yang menawarkan hadiah lumayan.

Bagi ikon e-sukan negara, Nur Amirul Afandi atau lebih dikenali sebagai AmTuah, sepanjang empat tahun berkecimpung dalam sukan berkenaan, pendapatan yang diraih sehingga kini mencecah RM100,000.

“Selain tajaan dan hadiah kemenangan, saya juga menerima gaji tetap daripada kelab yang saya sertai ketika ini. Boleh dikatakan bahawa saya hidup dengan selesa dan ha­nya perlu fokus pada bermain FIFA (Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa) sepenuh masa.

“Kadang-kala ada pihak dari luar yang secara sukarela memberi tajaan kepada saya,” katanya kepada Kosmo! baru-baru ini.

Media sebelum ini melaporkan bekas Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar bersetuju untuk me­nubuhkan satu unit khas e-sukan bagi memastikan Malaysia boleh bersaing sengit di pentas Sukan Asia 2022.

Rentetan itu, pada Januari lalu, Persatuan Sukan Elektro­nik Malaysia (ESM) dan Majlis Sukan Negara (MSN) berusaha merancang untuk menghantar perwakilan negara ke Sukan Asia 2022 serta Olimpik Paris 2024.

Buat permulaan, lima orang atlet e-sukan telah dihantar beraksi pada Kejohanan Pro Evolution Soccer (PES) 2018 Peringkat Asia di Bangkok, Thailand serta FIFA 2018 eWorld Cup Playoff di Barcelona, Sepanyol pada Januari lalu.

Mengulas lanjut, atlet berusia 24 tahun itu mengakui saingan e-sukan mula dianjurkan sebagai acara pertunjukan di Pentas Sukan Asia 2018 di Indonesia Ogos nanti.

“Sebenarnya pada tahun ini di Sukan Asia, e-sukan akan dipertandingkan sebagai sukan pertunjukan. Ia merupakan permulaan yang baik dan diharapkan sukan berkenaan akan dipromosikan dengan lebih giat.

“Bagi Sukan Malaysia (Sukma) 2018 pula, mengikut program awal, e-sukan juga akan dipertandingkan sebagai sukan pertunjukan. Tetapi saya tidak tahu sama ada ranca­ngan tersebut akan diteruskan ataupun tidak memandangkan idea tersebut turut dicetuskan oleh Khairy.

“Bagaimanapun, jika nak ikutkan platform asal yang dibuat itu, ia memang sangat menarik lebih-lebih lagi apabila wujud kerjasama dengan MSN,” tambah Nur Amirul.

Justeru, Nur Amirul turut berharap segala rancangan awal itu tidak terbatal kerana Sukma dianggap sebagai medium terbaik untuk memperkenalkan e-sukan kepada masyarakat sekali gus mengetepikan persepsi sukan berkenaan sebagai aktiviti membuang masa.

“Perkara ini saya rasa perlu diteruskan kerana kita tidak mahu ketinggalan berban­ding negara lain. Di Thailand, Si­ngapura dan sebagainya, mereka sudah mempunyai pasukan profesional yang se­ring beraksi di pentas dunia.

“Sudah tentu medium ini (Sukma) merupakan tempat terbaik untuk pemain-pemain ini mempamerkan bakat sekali gus boleh memberi pendedahan kepada masyarakat bahawa permainan video ini bukan aktiviti yang membuang masa sebaliknya boleh memberi manfaat yang banyak jika kena pada tujuannya,” kata atlet kelahiran Kuala Lumpur itu.

Dalam pada itu, juara Asia Tenggara acara FIFA seba­nyak empat kali itu mendedahkan, Malaysia memiliki lambakan peminat e-sukan berdasarkan pemerhatian yang diambil pada kejohanan FIFA yang diadakan dalam negara baru-baru ini.

“Di Malaysia saya rasa ramai peminat e-sukan kerana jika perlawanan FIFA, pihak penganjur menerima penyertaan lebih 500 orang.

“Itu pertandingan FIFA, tidak termasuk permainan popular lain seperti DOTA, Pro Eleven Soccer (PES) dan sebagainya. Malaysia memang banyak bakat baharu, cuma kita kekurangan satu organisasi yang boleh memberi peluang kepada pemain-pemain ini beraksi di pentas antarabangsa.

“Jika kita ambil contoh Eropah seperti Perancis, mereka mempunyai pusat latihan sendiri untuk membangunkan prestasi atlet-atlet e-sukan.

“Dari situ semua pemain ini diberi insentif serta medium untuk ke pentas antarabangsa. Bagi saya perkara ini patut dicontohi oleh Malaysia kerana e-sukan akan menjadi sukan yang semakin berkembang dan kemungkinan besar akan di pertandingkan di Sukan Olimpik 2020 di Tokyo, Jepun.

“Dalam tempoh dua atau tiga tahun akan datang, saya fikir Malaysia mungkin memiliki lebih ramai pemain profesional dengan syarat ia harus mendapat sokongan daripada kerajaan,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN