NARATHIWAT 8 Jun – Insiden keganasan terus berlaku di wilayah bergolak selatan Thailand apabila lima orang ditembak mati dalam dua kejadian berasingan di wilayah Narathiwat dan Pattani malam semalam.
Dalam kejadian pada kira-kira pukul 8 malam waktu tempatan di daerah Sukhirin dekat sini, pihak polis menemukan mayat empat lelaki dipercayai pencari emas di tebing Sungai Saiburi di daerah terbabit.
“Keempat-empat mereka dipercayai pencari emas di sungai itu. Apabila tidak pulang berbuka puasa, keluarga mereka membuat laporan polis,” kata Ketua Polis Narathiwat, Mejar Jeneral Manas Sikamat di sini hari ini.
Pihak polis menemukan 14 butir kelongsong peluru 5.56mm di tepi mayat mangsa dan akan meneruskan siasatan untuk mengetahui motif kejadian serta mengenal pasti mereka yang bertanggungjawab.
Menurut Manas, mangsa adalah seorang bapa, Mat Yusof Bado, 49, dan dua anak lelakinya, Hilmi Bado, 23, serta Muhamad Hadil Bado, 16, selain kenalan mereka, Marasapi Po yang berusia 32 tahun.
Kesemua mayat mangsa telah dihantar ke Hospital Sukhirin bagi tujuan bedah siasat.
Sementara itu, dalam kejadian di Pattani pada kira-kira pukul 9 malam waktu tempatan semalam, seorang peniaga berusia 32 tahun ditembak mati ketika dalam perjalanan pulang ke rumah selepas menunaikan solat tarawih di masjid berdekatan.
Menurut Ketua Siasatan Balai Polis Nongchik, Kapten Akkarat Jiagcahren, kejadian di mukim Dongrak di daerah Nongchik itu telah mengorbankan mangsa, Ismail Dollah.
Polis akan meneruskan siasatan berhubung kes pembunuhan itu.
Dua kejadian letupan bom turut dilaporkan berlaku di Sungai Padi dekat sini malam semalam tetapi hanya menyebabkan kerosakan pada beberapa kenderaan dan tidak mengakibatkan kehilangan nyawa, menurut polis tempatan. – BERNAMA










