Lelaki Thailand maut tercampak dari kenderaan - Utusan Malaysia

Lelaki Thailand maut tercampak dari kenderaan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MIRI 18 Jun – Seorang lelaki warga Thailand maut setelah kenderaan pacuan empat roda (4WD) dipandunya hilang kawalan lalu terbabas menyebabkan mangsa tercampak keluar di Kilometer 98, Jalan Miri-Bintulu di sini malam tadi.

Kejadian kira-kira pukul 8.50 malam itu, mangsa, Samphan Khamsopha, 44, meninggal dunia di lokasi kemalangan akibat kecederaan parah yang dialami.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak, Superintenden Alexson Naga Chabu berkata, sebelum kejadian, mangsa yang memandu sebuah Toyota Hilux bersendirian dalam perjalanan menuju ke pusat bandar raya ini dari arah Bintulu.

Katanya, tiba di tempat kejadian, kenderaan yang dipandu mangsa tiba-tiba terbabas dan berpusing beberapa kali di bahu jalan berkenaan.

“Mangsa kemudian tercampak keluar dari Toyota Hilux terbabit dan mengalami kecederaan parah di kepala dan badan.

“Orang awam yang kebetulan melalui kawasan kemalangan telah menghubungi pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Mengulas lanjut, Alexson Naga berkata, pemeriksaan lanjut di lokasi kejadian mendapati tiada kenderaan lain terlibat dalam nahas tersebut.

Katanya, mayat mangsa sudah dibawa ke Hospital Miri untuk tindakan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.-UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN