Lelaki tembak rakan sebelum bunuh diri - Utusan Malaysia

Lelaki tembak rakan sebelum bunuh diri

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SITIAWAN – Akibat sedikit perselisihan faham mengenai hutang, seorang lelaki menembak mati rakannya menggunakan senapang patah sebelum bertindak menembak diri sendiri dalam kejadian di hadapan sebuah kedai makan di Kampung Koh di sini malam tadi.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Perak, Senior Asisten Komisioner, Yahya Abd. Rahman berkata, dalam kejadian pada pukul 11 malam itu, mangsa dan suspek yang masing-masing berusia 66 dan 62 tahun itu sedang minum di kedai makan berkenaan.

“Berlaku perselisihan faham antara mereka yang dipercayai berpunca daripada masalah hutang perniagaan sehingga menyebabkan suspek bertindak menembak mangsa.

“Ketika kejadian, suspek yang dipercayai dalam keadaan mabuk telah menembak rakannya di kaki dan tangan menggunakan senapang patah sebelum dia bertindak melarikan diri dengan menaiki kereta,” katanya ketika dihubungi Kosmo! sebentar tadi.

Tambah Yahya, suspek yang turut melarikan pistol mangsa bagaimanapun dijumpai mati selepas menembak diri sendiri di dalam kereta tidak jauh dari tempat kejadian.

Katanya, mangsa yang parah sebelum itu dihantar ke Hospital Seri Manjung untuk rawatan kecemasan namun disahkan telah meninggal dunia.

“Siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti punca kejadian dan siasatan kes dijalankan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya. – K! ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN