Lelaki maut Perodua Axia rempuh batang paip besi - Utusan Malaysia

Lelaki maut Perodua Axia rempuh batang paip besi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PAPAR – Seorang lelaki maut selepas kenderaan jenis Perodua Axia yang dipandunya dipercayai hilang kawalan lalu terbabas dan melanggar sebatang paip besi di Kilometer 14, Jalan Baru Papar – Kota Kinabalu di sini awal pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira 4.25 pagi itu, mangsa, Abdul Rahman Yunus, 58, disahkan meninggal dunia di lokasi dipercayai tersepit di dalam kenderaan terbabit.

Bagaimanapun, lelaki berkenaan berjaya dikeluarkan pasukan bomba daripada Balai Bomba dan Penyelamat Papar yang bergegas ke lokasi selepas menerima panggilan kecemasan pada pukul 4.36 pagi.

Ketua Polis Daerah Papar, Deputi Superitendan Ladamah Sulaiman mengesahkan mengenai kejadian berkenaan.

“Hasil siasatan awal mendapati sebelum insiden mangsa sedang memandu bersendirian dari arah Kota Kinabalu menghala ke Pekan Papar.

“Setibanya di lokasi berhampiran Kem Polis Gerakan Am (PGA) Kinarut, kenderaan mangsa dipercayai hilang kawalan lalu terbabas dan melanggar sebatang paip besi di tepi kanan jalan,” katanya ketika dihubungi Kosmo! hari ini.

Mayat mangsa seterusnya dihantar ke Hospital Papar dekat sini untuk proses bedah siasat.

Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN