Lebih 300 hadir program Jakim@QuranHour sempena Nuzul al-Quran - Utusan Malaysia

Lebih 300 hadir program Jakim@QuranHour sempena Nuzul al-Quran

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA 1 Jun – Lebih 300 penjawat awam dan orang ramai menyemarakkan sambutan Nuzul al-Quran yang akan disambut esok dengan alunan bacaan ayat suci al-Quran menerusi program Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) #QuranHour (Jakim@QuranHour) di sini, hari ini.

Program yang bermula pukul 8.30 pagi itu dimulakan dengan bacaan surah al-Kahfi yangh di­pimpin oleh Imam Besar Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, Nor Azamir Alias.

Turut dianjurkan ialah forum Nuzul al-Quran yang bertajuk al-Quran Melahirkan Masyarakat Madani dan Generasi Rabani de­ngan menggandingkan dua ahli panel iaitu Timbalan Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim), Mohd. Zaidi Ramli dan Pensyarah Kanan Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya (APIUM), Dr. Abdul Halim Ibrahim.

Menurut Timbalan Ketua Pe­ngarah (Pembangunan Insan) Jakim, Datuk Paimuzi Yahya, program tersebut diadakan bagi menyingkap semula proses al-Quran diturunkan dalam tiga peringkat bermula dari Luh Mahfuz kemudian ke Baitul Izzah dan seterusnya diterima oleh Nabi Muhammad SAW melalui perantara malaikat Jibril.

“Menerusi program ini umat Islam akan dapat memahami de­ngan sebaiknya dari segi sejarah dan peristiwa yang penting dalam Nuzul al-Quran

“Apabila sejarah difahami dan sebab-sebab ayat al-Quran diturunkan akan menambah keyakinan kita kepada kebenaran al-Quran,” katanya ketika berucap dalam program Jakim@QuranHour sempena Nuzul al-Quran 1439 Hijrah di sini.

Program tahun ketiga #QuranHour yang dianjurkan oleh Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF) akan diadakan di Masjid Sultan Haji Ahmad Shah, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) pada 7 Jun ini.

Sebanyak 49 buah negara akan mengambil bahagian dalam program World #QuranHour yang bertujuan membentuk sebuah landasan solidariti ummah seluruh dunia di bawah naungan al-Quran.

Dalam pada itu, Paimuzi berkata, Jakim akan terus komited untuk memainkan peranan dalam menyebarkan dakwah dan risalah Nabi Muhammad SAW supaya masyarakat di negara ini terus mendapat keberkatan daripada Allah.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN