KUALA LUMPUR 30 Jun – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail menggesa mana-mana pihak yang mempunyai maklumat berhubung isu perkahwinan dengan kanak-kanak boleh melaporkan ke agensi-agensi yang terdekat seperti Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara.
Oleh itu, saya menyeru supaya mana-mana pihak yang mempunyai maklumat berhubung isu yang sama boleh melaporkan ke agensi-agensi yang terdekat seperti Jabatan Kebajikan Masyarakat dan Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara.
— Dr Wan Azizah Ismail (@drwanazizah) June 30, 2018
Katanya yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, kerajaan akan memastikan tidak ada diskriminasi atau penindasan terhadap mana-mana pihak termasuk kanak-kanak.
Malah, kerajaan akan mengkaji kelompongan yang wujud dalam undang-undang sedia ada bagi memastikan kedaulatan undang-undang di negara ini adalah undang-undang terbaik bagi semua.
“Kerajaan bersungguh-sungguh dalam memastikan sistem perundangan di negara kita bersifat adil dan melindungi hak dan kehormatan semua pihak.
“Kerajaan berasa terharu melihat rakyat Malaysia yang begitu peka dan responsif tentang isu ini. Namun, keputusan yang akan diambil haruslah bersifat inklusif demi memastikan kebajikan dan hak setiap pihak yang terlibat terpelihara,” katanya dalam laman Twitter, di sini hari ini.
Beliau mengulas mengenai perkahwinan lelaki berumur 41 tahun dengan budak perempuan 11 tahun yang tular dalam laman sosial semalam selepas perkara itu dikongsi isteri kedua lelaki terbabit. – UTUSAN ONLINE











