KWSP benarkan caruman sukarela secara fleksibel mulai 1 Julai nanti  - Utusan Malaysia

KWSP benarkan caruman sukarela secara fleksibel mulai 1 Julai nanti 

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR – Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) akan memansuhkan had minima RM50 bagi bayaran caruman sukarela oleh ahli berkuat kuasa pada 1 Julai nanti.

Memuatkan artikel berkaitan…

Ini akan membolehkan mereka memberi sumbangan dalam mana-mana amaun pada bila-bila masa, kata tabungan pencen terbesar negara dalam satu kenyataan.

“Sedikit simpanan yang diketepikan pada hari ini bakal memastikan kesejahteraan persaraan ahli kami di masa depan.

“Oleh sebab itu, kami mahu memastikan ahli-ahli kami dapat menyumbang dalam mana-mana amaun, pada bila-bila masa dalam lingkungan kemampuan kewangan mereka melalui kelonggaran yang diperkenalkan,” kata Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif KWSP, Datuk Mohd. Naim Daruwish. 

Amaun maksimum terkumpul yang boleh disumbangkan ke dalam setiap akaun bagaimanapun masih dihadkan kira-kira RM60,000 setahun.

Ahli KWSP boleh menyumbang secara sukarela untuk akaun mereka sama ada melalui Skim Persaraan 1Malaysia, Skim Caruman Pilihan Sendiri atau Caruman Penambahan Simpanan.

Mohd Naim berkata, opsyen untuk mencarum secara sukarela adalah selaras dengan agenda persaraan yang inklusif kerana ia adalah terbuka kepada semua rakyat Malaysia yang bekerja sendiri.

“Bukan warganegara Malaysia dengan permit kerja yang sah juga boleh menyumbang secara sukarela dengan mendaftar sebagai ahli,” katanya.

Menurut KWSP, sebagai tambahan kepada pemansuhan sumbangan minima RM50, ahli-ahli dapat menyumbang ke dalam Akaun 1 yang dimiliki oleh anak-anak mereka yang menjadi ahli KWSP melalui Caruman Penambah Simpanan.

Sebelum ini, skim tersebut hanya membenarkan ahli KWSP menyumbang kepada akaun 1 milik ibu bapa atau pasangan mereka.

Untuk  maklumat lanjut, ahli boleh menghubungi Pusat Pengurusan Perhubungan KWSP pada talian 03-89226000 atau rujuk laman web KWSP di www.kwsp.gov.my atau lawati mana-mana 67 cawangan KWSP di seluruh negara. – Bernama 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN