Kurangkan kebergantungan terhadap benih import - Utusan Malaysia

Kurangkan kebergantungan terhadap benih import

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEPANG 26 Jun – Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani akan mengadakan perbincangan dengan pelbagai pihak berhubung industri benih negara dalam usaha mengurangkan kebergantungan terhadap benih import.

Menterinya, Salahuddin Ayub berkata, perbincangan terutama bersama Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) itu turut dilihat dapat membantu golongan petani mendapat sumber benih yang lebih murah dan berkualiti.

“Benih ini kita banyak import iaitu sebanyak 90 peratus dan hanya 10 peratus sahaja kita buat di peringkat tempatan justeru, ini kita perlu dilihat.

“Mungkin bukan dalam jangka masa terdekat tetapi ia mesti bermula dengan kita memikirkan tentang industri benih,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan kerja ke Projek Usahawantani Bukit Damar, di sini hari ini.

Sebanyak 10 peratus benih yang dikeluarkan industri tempatan merangkumi tanaman seperti timun, kacang panjang.

Terdahulu, Salahuddin telah mengadakan dialog bersama beberapa pengusaha projek berkenaan yang antara lain berkisar isu-isu seperti harga benih import yang mahal, petani-petani kecil menjadi mangsa orang tengah dan pendatang asing mengusahakan ladang sayuran.

Selain itu, isu menguatkuasaan undang-undang termasuk pembentangan rang undang-undang benih turut diketengahkan dalam usaha memberi perlindungan terhadap pengusaha-pengusaha sayuran tempatan. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN