ARAU – Krisis melibatkan pelantikan Datuk Seri Azlan Man sebagai Menteri Besar Perlis yang tidak disokong oleh sembilan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Barisan Nasional (BN) dijangka dapat diselesaikan tidak lama lagi.
Lapan ADUN BN telah memohon sembah ampun dan menghadap Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail di Istana Arau di sini hari ini.
Pertemuan bagi menyelesaikan krisis pelantikan Menteri Besar yang telah berlanjutan selama 11 hari sejak pelantikan Azlan Man pada 24 Mei lalu itu bermula pada pukul kira-kira 11 pagi sebelum berakhir 30 minit kemudian.
ADUN BN yang hadir ialah Teh Chai Aan (Titi Tinggi), Ruzaini Rais (Beseri), Asmaiza Ahmad (Chuping), Siti Berenee Yahaya (Mata Ayer) dan Azizan Sulaiman (Santan).
Turut hadir, Hamizan Hassan (Kayang), Rozieana Ahmad (Pauh) dan Nurulhisham Yaakob (Simpang Empat).
Namun, kesemua ADUN itu enggan memberikan sebarang komen lanjut hasil pertemuan dengan Tuanku Syed Sirajuddin.
Tidak hadir pada pertemuan itu ialah Datuk Ismail Kassim (Tambun Tulang) yang difahamkan mempunyai urusan di Kuala Lumpur.
Terdahulu, Azlan Man yang juga merupakan ADUN Bintong telah menghadap Tuanku Syed Sirajuddin di Istana Kenangan Indah, Repoh, Kangar dekat sini.
Media melaporkan pada Jumaat lalu, sembilan ADUN BN tetap dengan keputusan mereka menolak Azlan Man sebagai Menteri Besar Perlis.
Setiausaha BN Perlis, Datuk Zahidi Zainul Abidin berkata, semua mereka akan menghadap Tuanku Syed Sirajuddin untuk memohon sembah ampun selain menerangkan salah faham yang berlaku sebelum ini.
Pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) lalu, BN memenangi 10 daripada 15 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Perlis membolehkan parti itu membentuk kerajaan negeri.
Kemelut politik Perlis menjadi perhatian umum apabila sembilan ADUN BN Perlis tidak hadir pada majlis istiadat pelantikan Menteri Besar kerana membantah pelantikan ADUN Bintong memegang jawatan berkenaan. – K! ONLINE










