KPM tidak benar kelas komputer berbayar waktu persekolahan - Utusan Malaysia

KPM tidak benar kelas komputer berbayar waktu persekolahan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA – Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) memandang serius isu murid-murid mengikuti pembelajaran kelas komputer berbayar pada waktu persekolahan.

Memuatkan artikel berkaitan…

Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik berkata, pelaksanaan kelas komputer berbayar di sesebuah kebangsaan dan bantuan kerajaan tidak boleh dilaksanakan dalam jadual waktu rasmi persekolahan kerana bercanggah dengan Surat Pekeliling Ikhtisas (SPI) KPM.

“Jadi, surat kebenaran khas yang dikeluarkan oleh Mantan Timbalan Menteri Pendidikan II kepada beberapa buah sekolah melalui Pejabat Pendidikan Daerah yang membenarkan pelaksanaan kelas komputer dalam jadual waktu persekolahan adalah terbatal.

“”Jadual waktu rasmi persekolahan bagi semua sekolah kerajaan dan bantuan kerajaan disediakan bagi melaksanakan mata pelajaran seperti yang ditetapkan dalam organisasi kurikulum kebangsaan,” katanya pada sidang akhbar di sini semalam.

Beliau memberitahu, kelas komputer berbayar di beberapa buah SJK (Cina) dipercayai dilaksanakan dalam jadual waktu rasmi persekolahan dan diselia oleh guru luar serta tidak didaftarkan oleh Ketua Pendaftar.

“Pelaksanaan kelas komputer berbayar dalam jadual waktu rasmi persekolahan di sesebuah sekolah kebangsaan dan bantuan kerajaan adalah dengan jelas melanggar peruntukan peraturan dan akta sedia ada.

“Bagaimanapun, kelas komputer berbayar boleh dilaksanakan sebagai sebahagian daripada kegiatan kokurikulum selepas waktu persekolahan dan tidak ada unsur paksaan terhadap penglibatan murid.

“Sebarang tambahan kepada proses pengajaran dan pembelajaran di dalam bilik darjah, sama ada bersifat pengukuhan atau pengayaan boleh dijalankan selepas selesai jadual waktu rasmi persekolahan,” katanya.

Dalam pada itu, Dr. Maszlee sekali lagi membangkitkan masalah beban beg berat murid-murid sekolah rendah.

“Masalah beban beg berat murid membabitkan sekolah rendah menjadi antara isu yang banyak diketengahkan pelbagai pihak dan saya telah mengarahkan siasatan dan kajian terhadap perkara ini.

“Bagi menangani isu ini, KPM telah merangka beberapa strategi antaranya, penguatkuasaan SPI dan Surat Siaran sedia ada yang akan berkuat kuasa mulai Januari 2019,” katanya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN