KOTA KINABALU 5 Jun – Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (PPDNKK) negeri mengeluarkan sebanyak 22 notis kompaun melibatkan pelbagai kesalahan sejak Januari tahun ini.
Timbalan Pengarah PPDNKK Sabah, V. Ravichandran berkata, daripada jumlah itu, sebanyak dua notis telah dikeluarkan selepas pemansuhan cukai barang dan perkhidmatan (GST) yang dilaksanakan pada Jumaat lalu.
Menurutnya, dua notis tersebut diberikan kepada dua syarikat operasi tempat letak kenderaan di sekitar bandaraya ini kerana didapati telah menyalahguna kadar cukai tersebut dan menaikkan kadar caj berkenaan secara mendadak.
“Jumlah kompaun yang dikeluarkan itu membabitkan jumlah sebanyak RM16,500 melibatkan pelbagai kesalahan termasuk kesalahan selepas pelaksanaan kadar sifar GST.
“Semua tindakan ini diambil berdasarkan hasil pemeriksaan pihak berkuasa dan aduan daripada orang awam,” katanya dalam majlis Perjumpaan PPDNKK bersama Media di sini hari ini.
Yang turut hadir Penolong Kanan Pengarah Kastam Sabah, Purna Limbu dan Penolong Pengarah Kastam Sabah, Venitha Lojuti. – UTUSAN ONLINE











