Korea Selatan letak kepercayaan kepada bintang remaja - Utusan Malaysia

Korea Selatan letak kepercayaan kepada bintang remaja

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEOUL 3 Jun – Korea Selatan hari ini mengumumkan skuad mereka untuk menghadapi Piala Dunia dengan pemain remaja Lee Seung-woo dalam senarai 23 pemain terakhir mereka manakala pemain tengah Swansea, Ki Sung-yeung dinamakan sebagai ketua pasukan.

Penyerang berbisa Tottenham, Son Heung-min mengetuai barisan depan Pahlawan Taeguk namun pemain tengah Crystal Palace, Lee Chung-yong gagal menyertai Piala Dunia ketiganya apabila digugurkan lewat semalam daripada skuad sementara 28 orang sebelum mereka berlepas bagi kem pra-Piala Dunia di Austria.

Pemain sayap berusia 20 tahun, Seung-woo yang bermain bersama Verona di Itali, mencipta kejutan kerana dikekalkan dalam senarai 23 pemain selepas membuat penampilan sulungnya hanya enam hari lalu dalam perlawanan persahabatan dengan Honduras pada Isnin lalu yang mana mereka menang 2-0.

Walaupun Korea Selatan kalah 3-1 kepada Bosnia-Herzegovina Jumaat lalu namun prestasinya meya­kinkan jurulatih Shin Tae-yong untuk memilihnya ke dalam skuad bagi kejohanan di Rusia yang akan bermula pada 14 Jun ini.

Korea Selatan mempunyai dua lagi perlawanan pemanas badan iaitu menentang Bolivia di Innsbruck Khamis ini dan Senegal secara tertutup di Grodig pada 11 Jun. Mereka kemudian akan ke pangkalan Piala Dunia mereka di Saint Petersburg pada 12 Jun.

Peserta separuh akhir Piala Dunia 2002 itu berada dalam Kumpulan F yang turut diisi oleh Sweden, Mexico dan juara bertahan Jerman. – AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN