Korban gunung berapi Guatemala meningkat - Utusan Malaysia

Korban gunung berapi Guatemala meningkat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

EL RODEO, GUATEMALA 5 Jun – Jumlah mangsa yang terkorban akibat letusan gunung berapi Fuego di sini meningkat kepada 69 orang ketika orang ramai berusaha mencari ahli keluarga mereka yang hilang di jalan-jalan raya yang dilitupi abu dan juga di bilik-bilik mayat sementara.

Agensi bencana alam Guatemala, CONRED memaklumkan jumlah mangsa meningkat selepas pihaknya berjaya menarik keluar mayat daripada runtuhan di kawasan perkampungan El Rodeo yang paling teruk terjejas akibat letusan itu.

Setakat ini, hanya sebahagian kecil sahaja mayat telah dikenal pasti.

Memuatkan artikel berkaitan…

Di bilik mayat sementara di bandar Escuintla kira-kira 30 kilometer daripada kawasan letusan, orang ramai sibuk mengenal pasti mayat untuk mencari anggota keluarga mereka yang hilang.

Francisco Quiche, 46, memberi sampel darah dalam usaha untuk mengenal pasti mayat anak lelakinya yang terbunuh dalam kejadian itu.

Selepas berpindah dari bandar El Rodeo dengan keluarganya, Quiche kembali ke kawasan itu mencari anak dan menantu perempuannya yang sedang hamil.

Dia mengintai dari celah lubang pada rumah anaknya dan nampak dengan jelas mayat anak lelakinya tetapi gagal menemukan menantunya yang dipercayai turut terkorban.

Letusan Fuego yang bermaksud `api’ dalam bahasa Sepanyol pada Ahad lalu adalah yang terbesar dalam tempoh empat dekad sehingga memaksa lapangan terbang antarabangsa Guatemala ditutup.

Letusan gunung berapi itu turut menghamburkan abu yang meliputi beribu-ribu hektar kebun kopi di cerun gunung berkenaan.

Pengarah Institut Meteorologi, Gunung Berapi dan Seismologi Insivumeh, Eddy Sanchez berkata, sehingga semalam, aktiviti gunung berapi semakin reda dan dijangka akan terus berkurangan dalam tempoh beberapa hari lagi.

Jurucakap CONRED berkata, usaha mengeluarkan mayat mangsa semalam terhenti akibat satu lagi letusan dan kejadian tanah runtuh di selatan cerun Fuego.

Pada sebelah petang pula, hujan lebat memaksa pasukan penyelamat untuk menghentikan pencarian di El Rodeo sehingga pagi ini.

Kata Sanchez, hujan dijangka akan berterusan dan akan menyukarkan usaha pencarian. – Reuters

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini