KUALA LUMPUR – Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) akan menghantar bidaan rasmi pada minggu depan kepada Persekutuan Hoki Antarabangsa (FIH) untuk menawarkan diri sebagai tuan rumah Kejohanan Hoki Piala Dunia Lelaki 2022.
Presiden MHC, Datuk Seri Subahan Kamal berkata, badan induk itu akan turut menghantar bidaan untuk menjadi tuan rumah Pusingan Akhir Siri Dunia Lelaki 2019 dan Pusingan Akhir Siri Dunia Wanita 2021.
Kejohanan Pusingan Akhir Siri Dunia Lelaki 2019 adalah kelayakan untuk Sukan Olimpik 2020 dan Pusingan Akhir Siri Dunia Wanita 2021 untuk kelayakan Piala Dunia 2022.
Untuk rekod, Malaysia pernah menjadi tuan rumah Piala Dunia sebanyak dua kali iaitu pada tahun 1975 dan 2002.
“Saya boleh katakan hampir pasti kita akan menganjurkan Pusingan Akhir Siri Dunia Lelaki pada Jun 2019 memandangkan FIH sendiri yang menawarkan tugas itu kepada kita dan ahli Exco bersetuju,” katanya pada sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat Ahli Lembaga Eksekutif badan itu di sini hari ini. – Bernama










