PUTRAJAYA – Kementerian Komunikasidan Multimedia (KKMM) akan mengambil langkah segera untuk meningkatkan kebebasan dan profesionalisme entiti Radio Televisyen Malaysia (RTM) serta Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama).
Menterinya, Gobind Singh Deo berkata, langkah itu bagi memastikan media mempunyai kebebasan untuk menjalankan proses semak dan imbang terhadap pentadbiran kerajaan.
Semua undang-undang serta peraturan yang berkaitan media akan disemak semula agar kebebasan media sentiasa terjamin katanya, ketika menyampaikan amanat kepada warga KKMM di kementeriannya di sini hari ini.
Beliau berkata, kerajaan juga sedang mempertimbangkan penubuhan sebuah Majlis Media yang dianggotai tokoh media bagi menyelaras garis panduan etika serta bertindak sebagai badan hisbah (badan pengawasan yang ditubuhkan kerajaan) dalam menangani aduan orang ramai terhadap media.
Beliau meminta warga KKMM mengubah cara berfikir serta bekerja secara berpasukan untuk merealisasikan kepentingan komunikasi dan multimedia ke arah meningkatkan pertumbuhan serta mentransformasikan sektor ekonomi bagi kesejahteraan rakyat dalam tempoh enam bulan. – Bernama











