‘Kita dinilai atas keputusan dibuat’ - Utusan Malaysia

‘Kita dinilai atas keputusan dibuat’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 6 Jun – Kerajaan telah menerima peletakan jawatan Tan Sri Muhammad Ibrahim sebagai Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM) berkuat kuasa hari ini, mengesahkan khabar angin yang tersebar dalam media sosial sejak semalam.

MUHAMMAD IBRAHIM
MUHAMMAD IBRAHIM

Bagaimanapun, pengganti be­liau masih belum dinamakan dengan bekas Timbalan Gabenor BNM, Datuk Nor Shamsiah Mohd. Yunus telah disebut-sebut sebagai calon pilihan untuk menerajui bank pusat itu.

Dalam jawapannya kepada pertanyaan Bernama mene­rusi aplikasi WhatsApp, Muhammad berkata, semasa beliau mengambil alih jawatan itu pada Mei 2016, beliau berikrar untuk melaksanakan tanggungjawab pejabat Gabenor dengan profesionalisme, maruah dan integriti yang tinggi.

Memuatkan artikel berkaitan…

Bagaimanapun sejak beberapa minggu kebelakangan ini, terdapat persoalan serius yang dibangkitkan sama ada beliau telah gagal dalam mencapai standard ini dan merisikokan keyakinan orang awam terhadap bank itu.

“Sebagai bank pusat, kami ha­nya efektif dengan kepercayaan dan keyakinan yang diletakkan oleh rakyat Malaysia dan para pemimpin terhadap kami.

“Saya bersedia melepaskan jawatan sekiranya saya tidak lagi mendapat kepercayaan dan sokongan daripada orang ramai. Saya tidak dapat meneruskannya lagi sekiranya ia menjejaskan imej dan reputasi bank.

“Kita dinilai atas keputusan yang kita buat, misalnya seperti pembelian Lot 41 baru-baru ini, yang dibeli pada harga RM850 sekaki persegi yang mana telah menarik perhatian umum,” katanya.

Muhammad berkata, persepsi umum adalah pembelian tanah itu dibuat bertujuan untuk bersekongkol dalam penyelewengan dana awam berkaitan rasuah dan skandal yang menyelubungi 1Malaysia Development Bhd (1MDB).

“Ini tidak benar sama sekali. Bank Negara Malaysia tidak akan terlibat dalam aktiviti sedemikian yang akan mengkhianati kepercayaan orang ramai terhadap kami. Kami menolak sebarang bentuk rasuah dan penyalahgunaan kuasa,” tegasnya.

Walaupun ramai yang mungkin meraguinya, beliau berkata, BNM tidak mengetahuinya dan tidak mempunyai sebarang kawalan ke atas hasil daripada pembelian tanah itu yang akan digunakan untuk menyelesaikan obligasi hutang 1MDB.

Beliau berkata, adalah tidak munasabah bank pusat itu dikaitkan dengan entiti kontroversi tersebut yang terlibat dengan tuduhan penipuan dan salah urus.

“Bukan amalan kami untuk berbuat demikian. Kami turut mengambil tindakan penguatkuasaan terhadap mereka sebelum ini.

“Skandal 1MDB memberi kesan buruk kepada negara dan sebagai rakyat Malaysia, saya merasa amat marah.

“Ia merupakan perkara yang menjadi tumpuan umum dan saya faham mana-mana pertubuhan yang terlibat dengan skandal, secara tidak dise­ngajakan atau sebaliknya, akan menimbulkan kemarahan orang ramai,” katanya.

Muhammad berkata, ke­utamaan beliau kini adalah memacu bank pusat itu hadapan dan terus menumpukan kepada melaksanakan mandatnya untuk memberi perkhidmatan kepada rakyat Malaysia.

Merujuk kepada pembelian Lot 41, beliau berkata, ia bukan kali pertama BNM melakukan transaksi seperti itu.

Beliau menegaskan bahawa Bank Pusat sejak berpuluh tahun lalu telah membeli beberapa keping tanah di seluruh negara untuk membolehkannya me­laksana mandatnya.

Malah ibu pejabat sekarang, dibina atas tiga pengambilalihan tanah yang berasingan yang dibuat pada tahun 1950-an dan 1980-an.

Contoh lain ialah tanah Bukit Perdana, yang dibeli pada 2013 dengan harga RM1,235 sekaki persegi berdasarkan penilai profesional bebas, di mana pembinaan Sekolah Perniagaan Asia dan Pusat Latihan Industri Kewangan sedang dijalankan. – BERNAMA

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini