Khairy mahu lakukan penstrukturan semula BN - Utusan Malaysia

Khairy mahu lakukan penstrukturan semula BN

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR – Calon Presiden UMNO, Khairy Jamaluddin Abu Bakar mahu melakukan penstrukturan semula Barisan Nasional (BN) mengikut kehendak semasa bukannya mengamalkan formula lama yang menjadi punca penolakan rakyat pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) lalu sekiranya berjaya memenangi jawatan tersebut.

Memuatkan artikel berkaitan…

Beliau berkata, pembaharuan tersebut akan dilakukan secara tersusun bagi menguatkan lagi UMNO sebagai sebuah parti Melayu yang menguasai 50 kerusi di Parlimen dan selepas itu duduk dengan MCA dan MIC bagi merangka formula baharu untuk membangkitkan semula semangat BN.

“Jika saya menang Presiden esok, pemikiran luar biasa perlu ada dan saya akan bersama MCA dan MIC bagi merangka formula baharu seperti menjemput parti-parti lain dan badan bukan kerajaan (NGO) yang mahu bersama kita.

“Malah, kita tidak akan mengguna pakai kaedah pembahagian kerusi mengikut hak parti kerana jika sesebuah kawasan terbabit UMNO boleh menang berbanding rakan parti dalam BN maka calon daripada UMNO yang akan dipertaruhkan, begitu juga sebaliknya,” katanya ketika berucap pada Majlis Sepetang Bersama Calon Presiden UMNO di sini sebentar tadi.

Pada pemilihan Presiden UMNO  esok, Khairy akan ditentang Pemangku Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah.

Khairy yang juga Ahli Parlimen Rembau berkata, UMNO juga perlu membuka ruang seluas-luasnya kepada orang Melayu yang bijak pandai dalam pelbagai bidang supaya membantu parti untuk terus menerima sokongan.

Katanya, UMNO perlu kembali kepada perjuangan asal dengan membuka ruang kepada semua orang Melayu dan jangan sesekali terpisah daripada realiti untuk berubah.

“Kita perlu buang sikap mencantas golongan terbabit supaya UMNO boleh menjadi khemah besar kepada orang Melayu malah akar umbi mempunyai ruang luas dalam bersuara dan membawa perubahan,” katanya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN