KUALA LUMPUR 4 Jun – Ketua Penerangan Pemuda UMNO Pusat Bandar Taman Cempaka, Syed Rosli Jamalullail Syed Harman tawar diri untuk bertanding jawatan Ketua Pergerakan Pemuda UMNO dalam pemilihan yang akan berlangsung pada hujung bulan ini.
Tawaran berkenaan menjadikan kerusi nombor satu sayap UMNO itu bakal direbut oleh empat orang termasuk Naib Ketua Pergerakan Pemuda, Khairul Azwan Harun.
Turut menawarkan diri bertanding jawatan itu ialah Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki dan Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md. Yunos.
Beliau dalam satu kenyataan kepada Utusan Online hari ini memberitahu, berikrar akan memerangi amalan rasuah dalam parti sekiranya diberi mandat memegang jawatan itu.
“Peluang ini saya rebut bagi bertujuan dengan penuh ikhlas untuk membersihkan Pergerakkan Pemuda Umno dari terus dilabel sebagai golongan elitis dan gagal memahami denyut nadi pemuda di akar umbi.
“Kita perlu menyedari hasrat pemuda di peringkat akar umbi yang mahukan pemimpin yang bersih dan benar berjuang mengikut landasan perjuangan UMNO yang sebenar.
“Saya juga memohon kepada Allah S.W.T. supaya merestui keputusan saya kali ini demi perjuangan menolak kepimpinan UMNO yang korup,sombong dan angkuh,“ katanya.
Tambahnya lagi, ini merupakan kali ke dua beliau menawarkan diri untuk merebut kerusi Ketua Pergerakan Pemuda UMNO yang tewas sebelum ini ketika pemilihan pada 2013. – UTUSAN ONLINE











