SHAH ALAM – Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dimasukkan ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) berikutan masalah bahu kanan serta bahagian belakang kini dilaporkan dalam keadaan stabil.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail berkata, beliau percaya suaminya itu akan segera sembuh dalam masa terdekat ini seterusnya menjalankan aktivitinya seperti biasa semula.
“Beliau (Anwar) kelihatan baik pagi ini ketika melawatnya dan sebab itu saya datang ke sini (majlis rumah terbuka Hari Raya Aidilfitri peringkat negeri Selangor).
“Saya berharap orang ramai akan terus berdoa untuk kesihatan beliau,” katanya ketika ditemui pemberita pada majlis rumah terbuka Hari Raya Aidilfitri peringkat negeri Selangor sebentar tadi.
Beliau berkata demikian bagi mengulas kedudukan kesihatan Anwar yang dimasukkan ke PPUM berikutan masalah bahu kanan serta bahagian belakang.
Anwar mengalami kesakitan tersebut selepas pulang dari Turki semalam.
Kunjungan Anwar ke Turki bermula Khamis lalu, adalah atas jemputan Presiden Recep Tayyip Erdogan. -K! ONLINE










