Kes kahwinkan kanak-kanak berusia 11 tahun, JHEAIK jalankan siasatan - Utusan Malaysia

Kes kahwinkan kanak-kanak berusia 11 tahun, JHEAIK jalankan siasatan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU 30 Jun – Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (JHEAIK) sedang menjalankan siasatan berhubung dakwaan seorang peniaga berkahwin kanak-kanak berusia 11 tahun yang tersebar di media sosial sejak semalam.

Memuatkan artikel berkaitan…

Pengarah JHEAIK, Datuk Mohd. Che Rahim Jusoh berkata, seingga kini pihaknya masih belum menerima sebarang laporan daripada mana-mana pihak berhubung kejadian tersebut.

“Kita belum terima laporan lagi tetapi siasatan telah dijalankan,” katanya ringkas ketika dihubungi Utusan Online, di sini hari ini.

Sejak semalam kisah perkahwinan lelaki berusia 41 tahun dengan kanak-kanak itu menular di laman sosial apabila isteri keduanya mendedahkan perkara tersebut di facebooknya semalam.

Lelaki yang menjalankan perniagaan jual beli getah itu dikatakan telah berkahwin dengan kanak-kanak tersebut di selatan Thailand baru-baru ini.

Menurut laporan sebuah portal, Che Abdul Karim Che Hamid, 41, mengaku mereka bernikah di Thailand atas dasar suka sama suka dan telah bercinta sejak empat tahun lalu.

Mengulas mengenai kisah percintaan mereka, Che Abdul Karim berkata dia mengenali isteri ketiganya itu, Mas, semasa kanak-kanak itu menemani ibunya bekerja di kedai makan milik isteri pertamanya.

Isteri ketiga lelaki itu dikatakan akan tinggal bersama kedua ibu bapanya di Pattani sehingga usianya mencapai 16 tahun.

Bapa kepada enam cahaya mata hasil perkahwinannya dengan dua isterinya sebelum ini bagaimanapun tidak menganggap perbuatan tersebut salah kerana dia bernikah dengan budak perempuan itu dengan kebenaran kedua ibu bapanya.

Dalam Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam 2002, Bahagian II – Perkahwinan Seksyen 8: umur minimum perkahwinan menyebut tiada sesuatu perkahwinan boleh diakadnikahkan jika lelaki itu berumur kurang daripada 18 tahun atau perempuan itu berumur kurang daripada 16 tahun kecuali jika Hakim Syarie telah memberi kebenaran secara bertulis dalam hal keadaan tertentu. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN