GUA MUSANG – Suspek curi sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) terpaksa berputih mata selepas kenderaan yang dicuri itu terbabas dan terbalik ke dalam cerun di Kilometer 2.5, Jalan Gua Musang-Kuala Krai, di sini hari ini.
Kejadian tersebut berlaku kira-kira pukul 4.30 pagi selepas kenderaan jenis Nissan Grand Livina tersebut dicuri di Taman Mesra di sini dan dipercayai ingin dibawa menghala ke Kuala Krai.
Pencuri tersebut hanya sempat melarikan kereta sejauh kira-kira 5 kilometer sebelum kereta terbabit terbabas ke dalam cerun. Bagaimanapun, suspek berjaya meloloskan diri selepas kemalangan itu.
Pemilik kereta itu, Farhana Ayub, 26, berkata, dia menyedari keretanya hilang pada pukul 4 pagi selepas bangun tidur untuk persiapan bersahur bagi puasa sunat enam.
“Saya terkejut selepas melihat kunci kereta, telefon bimbit dan beg duitnya yang diletak atas meja hilang. Saya kejutkan suami yang sedang tidur untuk melihat kereta yang diletakkan dihadapan sebuah kedai di tingkat bawah.
“Suami saya bergegas turun ke bawah dan mendapati kereta Nissan Grand Livina milik saya hilang,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Mohd. Taufik Maidin ketika dihubungi mengesahkan ada menerima laporan berhubung kejadian itu dan siasatan sedang dijalankan. – K! ONLINE











