Kerana petai, 30 jam sesat di hutan Limau Kasturi - Utusan Malaysia

Kerana petai, 30 jam sesat di hutan Limau Kasturi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GUA MUSANG 29 Jun – Seorang pencari petai ditemukan dalam keadaan tidak bermaya dan keletihan selepas tersesat kira-kira 30 jam di hutan Limau Kasturi, di sini hari ini.

Mangsa, Mohd. Aidil Hakim Mohd. Yusoff, 34, keluar dari rumah pada pukul 5 pagi semalam seorang diri untuk mencari petai dan akar kayu di kawasan itu.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Gua Musang, Anuar Abas berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian itu daripada ibu mangsa pada pukul 12.36 tengah hari ini, sebelum melancarkan operasi mencari mangsa. 

Katanya, operasi itu diketuai oleh Ketua Operasi Pegawai Bomba Kanan II, Mohd. Zawawi Yusoff bersama 10 anggota lain.

“Mangsa didapati tidak pulang ke rumah hampir 24 jam dan usaha mencari telah dilakukan oleh ibunya bersama penduduk kampung. 

“Namun, mangsa gagal ditemukan dan ibu mangsa memohon bantuan pihak bomba pada tengah hari ini dan akhirnya mangsa dijumpai kira-kira pukul 3.30 petang ini,” katanya.

Anuar berkata, anggotanya telah membuat pencarian menggunakan kaedah menjejaki tapak kaki mangsa.

Katanya, hasil pencarian selama tiga jam mangsa berjaya ditemukan dalam keadaan tidak bermaya di sebatang pokok petai dalam jarak lebih kurang 10 kilometer dari jalan masuk ke hutan itu. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN