PADANG TERAP 30 Jun – Bekas Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid menyifatkan lebih banyak dasar kerajaan Pakatan Harapan dijangka tidak dapat mengelak daripada perjuangan parti komponennya, DAP menerusi gagasan Malaysia Baharu.
![]() |
|
DATUK SERI MAHDZIR KHALID
|
Menurut Mahdzir, pengumuman kerajaan berhubung penawaran khas kemasukan 1,000 pelajar Cina ke program matrikulasi Kementerian Pendidikan memperlihatkan perubahan dasar agar selaras gagasan Malaysia Baharu yang diperkenalkan.
“Saya kira bahawa dalam suasana kerajaan Pakatan Harapan yang menjadi Kerajaan Persekutuan sudah hampir dua bulan ini, mereka mempunyai agenda yang sesuai dengan dasar Malaysia Baharu yang diketengahkan salah satu parti (dalam komponen Pakatan Harapan). Yang disebut Malaysia Baharu dalam konteks apa yang diperjuangan DAP.
“Jadi saya nampak, lebih banyak dasar yang akan diketengahkan (kerajaan Pakatan Harapan) nanti, mereka tidak dapat mengelak daripada apa yang diperjuangkan parti komponen mereka iaitu DAP,” katanya selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Padang Terap di sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai pengumuman kerajaan berhubung penawaran khas kemasukan ke program matrikulasi Kementerian Pendidikan kepada 1,000 pelajar cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) kaum Cina daripada golongan isi rumah berpendapatan rendah (B40).
Mahdzir berkata, Perkara 153 iaitu hak dan keistimewaan orang Melayu dan bumiputera di negera ini yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan perlu menjadi keutamaan kerajaan Pakatan Harapan.
“Kita tidak sebut mesti perjuangkan untuk orang Melayu dan bumiputera tetapi yang termaktub dalam Perlembagaan perlu menjadi keutamaan kerajaan. Bukan bermakna kita menafikan keterlibatan kaum lain dalam negara ini.
“Saya boleh katakan semua elemen sudah ada, sama ada ekonomi, pendidikan, kebudayaan, politik yang memperlihatkan semua kaum terlibat tapi dalam Perlembagaan ada menyebut mengenai hak dan keistimewaan orang Melayu dan bumiputera. Kalau tidak mahu pergi jauh (melaksanakan dasar) tapi kita perlu menghormati yang terkmaktub dalam Pelembagaan,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE












