Kerajaan PH diminta tumpu atasi masalah penduduk tanpa kerakyatan - Utusan Malaysia

Kerajaan PH diminta tumpu atasi masalah penduduk tanpa kerakyatan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 3 Jun – Lawyers for Liberty bimbang mengenai dasar diskriminasi Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) terhadap penduduk Malaysia yang tidak mempunyai kerakyatan, amalan yang berlarutan di bawah kerajaan Barisan Nasional (BN) sebelumnya.

Pengarah Eksekutifnya, Eric Paulsen, dalam satu kenyataan hari ini berkata, kerajaan baharu Pakatan Harapan (PH) nampaknya tidak mengakui betapa seriusnya masalah penduduk tanpa kerakyatan dan hanya tertumpu kepada masalah itu yang melibatkan masyarakat India seperti dinyatakan dalam Janji 1 Komitmen Khas untuk Masyarakat India.

Oleh kerana masalah itu berlaku di seluruh negara dan melibatkan lebih daripada satu kumpulan etnik, amatlah penting usaha untuk menangani ketidakadilan ini diperluaskan kepada semua individu yang tidak mempunyai kerakyatan, bukan hanya kepada masyarakat India.

Beliau juga menggesa Kementerian Dalam Negeri memansuhkan dasar diskriminasi dan membebankan yang diamalkan oleh pentadbiran BN sebelumnya dan mengambil langkah untuk mengkaji semua kes individu tanpa kerakyatan dan memberi mereka dokumen kewarganegaraan

“Ramai yang tidak memiliki kerakyatan, terutama dari kaum India telah diperlakukan sebagai gimik politik dan MIC menjalankan program pendaftaran kewarganegaraan hanya apabila menjelang pilihan raya.

“Kerajaan Pakatan Harapan dan parti gabungannya, tidak harus mengulangi gimik itu tetapi sebaliknya berusaha untuk melaksanakan pembaharuan dalam dasar dan pendekatan JPN bagi menyelesaikan masalah penduduk tanpa kerakyatan,” kata Eric. – BERNAMA
 
 



Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN