BAGAN SERAI 17 Jun – Kerajaan Pakatan Harapan sepatutnya menjaga kebajikan rakyat khususnya di peringkat bawahan terutamanya dalam bulan Ramadan dan Hari Raya Aidilfitri.
Ketua UMNO Bagan Serai, Datuk Sham Mat Sahat berkata, beliau berasa amat sedih apabila rakyat yang tinggal di kampung, datang bertemunya untuk bertanyakan tentang bantuan hari raya seperti yang biasa diberikan oleh UMNO dan Barisan Nasional (BN).
“Ramai yang datang merayu sambil bertanyakan bermacam-macam perkara. Raya tahun lepas, banyak sumbangan daripada pelbagai syarikat korporat, syarikat milik kerajaan (GLC), pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta daripada UMNO.
“Namun kini, kerajaan negeri dan Pusat telah berubah segalanya. Rata-rata rakyat Bagan Serai kecewa dalam hal ini. Janji-janji mereka dalam tempoh 100 hari pemerintahan juga saya rasakan sukar untuk dilaksanakan kerana sekarang ini sudah ibarat cacamarba,” katanya.
Sham yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Alor Pongsu berkata demikian ketika ditemui Utusan Malaysia di majlis Rumah Terbuka Aidilfitri di kediamannya di Parit Jawa di sini semalam.
Dalam perkembangan lain, Sham berkata, pihaknya akan membuat pemilihan terbuka bagi semua jawatan penting di peringkat UMNO Bahagian Bagan Serai.
“Kita mengamalkan dasar terbuka kepada mana-mana ahli yang mahu bertanding pada kali ini. Kita tidak akan menyekat mereka, malah kita alu-alukan mereka untuk bertanding secara berhemah dengan penuh semangat kekeluargaan,” katanya.









