Kerajaan nafi mohon ekstradisi Sirul daripada pihak Australia - Utusan Malaysia

Kerajaan nafi mohon ekstradisi Sirul daripada pihak Australia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA – Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad menafikan kerajaan telah membuat permohonan untuk mengekstradisi bekas anggota Unit Tindakan Khas, Koperal Sirul Azhar Umar daripada pihak berkuasa Australia. 

Jelas beliau, terdapat permintaan supaya kerajaan membuka semula kertas siasatan terhadap pembunuhan berprofil tinggi model Mongolia,  Altantuya Shaariibuu pada 20 Oktober 2006.

“Kita tidak ada permohonan (untuk membawa pulang), saya tidak tahu ini pertama kali dengar daripada anda,” katanya pada sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai Anti Rasuah (JKKMAR) di sini hari ini. 

Sebelum ini Kosmo! melaporkan pihak berkuasa Australia membenarkan permintaan kerajaan Malaysia untuk mengekstradisi Sirul Azhar yang disabitkan hukuman gantung dalam kes pembunuhan Altantuya. 

Menurut laporan eksklusif porta berita hari ini The Guardian, kerajaan Malaysia baru-baru ini telah mengadakan perbincangan dengan kerajaan Australia untuk meminta Sirul dibawa balik ke Malaysia.

Ia juga difahamkan mendapat lampu hijau selepas Malaysia bersetuju untuk menampung kosnya selain dipercayai Sirul akan meninggalkan Australia dalam tempoh sebulan.

Dalam kes berprofil tinggi itu Mahkamah Tinggi Shah Alam telah mendapati Cif Inspektor Azilah Hadri, 38, dan Sirul 43, bersalah kerana membunuh Altantuya serta dijatuhkan hukuman mati. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN