ALOR SETAR 7 Jun – Presiden PPBM, Tan Sri Muhyiddin Yassin menyifatkan langkah Kerajaan Pakatan Harapan (PH) membatalkan projek kereta api laju Kuala Lumpur-Singapura (HSR) dan projek kereta api pantai timur (ECRL) adalah wajar.
Beliau yang juga Menteri Dalam Negeri berkata, kerajaan memutuskan untuk membatalkan projek-projek mega tidak berfaedah dan menyebabkan negara terpaksa menanggung hutang yang besar jika diteruskan.
“Baru-baru ini diumumkan pembatalan projek HSR yang menelan belanja RM124 bilion, projek yang hanya menjimatkan masa (perjalanan Kuala Lumpur ke Singapura) hanya sejam sahaja. Jadi, Perdana Menteri (Tun Dr. Mahathir Mohamad) buat keputusan tidak payah buat.
“Nak buat ECRL, bernilai RM66 bilion. Kalau hasil (projek HSR dan ECRL) berbilion tak apa, tapi sebaliknya hutang sahaja.
“Ini sama macam isteri suruh buat rumah mahal tapi kita tiada duit, bila pinjaman tak buat akhirnya rumah kita akan dilelong,” katanya ketika berucap dalam Majlis Berbuka Puasa dan Penyampaian Sumbangan Peringkat Kota Setar, di sini hari ini.
Yang hadir sama, Menteri Besar, Datuk Seri Mukhriz Mahathir.
Seramai 1,271 asnaf dan golongan wira tak didendang seperti ustaz, ustazah, bidan, jurumandi jenazah, penggali kubur dan tok mudim mendapat sumbangan wang tunai daripada kerajaan negeri.
Menurut Muhyiddin, tumpuan kerajaan PH adalah untuk mengurangkan beban kos sara hidup dan pada masa sama, meningkatkan pendapatan rakyat. – UTUSAN ONLINE











