KUALA LUMPUR – Keputusan muktamad pemilihan tiga sayap UMNO – Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri – di peringkat bahagian dan pusat hanya akan diumum pada pukul 5 petang ini, kata Setiausaha Kerja UMNO, Datuk Ab. Rauf Yusoh.
Beliau berkata, sehingga 12.30 pagi tadi, sebanyak 56 bahagian UMNO masih belum selesai bermesyuarat dan belum menghantar keputusan undian di bahagian masing-masing.
Bahagian-bahagian dimaksudkan ialah 10 bahagian di Wilayah Persekutuan, Perlis (1), Kedah (6), Perak (6), Selangor (6), Negeri Sembilan (4), Melaka (2), Johor (1), Pahang (6), Terengganu (2), Kelantan (6), dan Sabah (6).
“Setakat ini bahagian yang telah menghantar borang secara rasmi ialah sebanyak 45 peratus,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Perwakilan daripada 191 Bahagian Umno menunaikan tanggungjawab masing-masing mengundi bagi memilih kepimpinan ketiga-tiga sayap parti itu, dengan didahului mesyuarat perwakilan bermula pagi semalam. – Bernama










