Sentimen pasaran ialah keadaan keseluruhan pasaran yang dicorakkan oleh sesuatu perkara utama yang bakal mempengaruhi pergerakan turun naik pasaran dalam satu tempoh tertentu. Penyebab atau pemangkin tersebut boleh jadi positif mahupun negatif.
Sekiranya faktor utama sentimen tersebut berbentuk positif, ia akan merangsang pergerakan saham ke arah aliran menaik ataupun dipanggil iklim yang sihat yang mana pelabur dan pedagang saham memasuki pasaran dengan cergas. Keadaan ini membuatkan keuntungan agak mudah dijana lebih-lagi dalam masa singkat dan sederhana.
Juga, kaunter untung lebih banyak daripada kaunter rugi. Sebaliknya, sekiranya sentimen pasaran negatif, banyak kaunter rugi mengatasi kaunter untung. Pelabur dan pedagang runcit di waktu ini ramai yang mengeluh kerana mengalami kerugian termasuk kerugian atas kertas pada portfolio pelaburan mereka.
Untuk meramal sentimen pasaran sememangnya agak sukar bagi pelabur dan pedagang saham baharu dan yang kurang pengalaman. Sesetengahnya langsung tidak pernah terfikir tentang sentimen pasaran ini kerana mereka membeli saham tanpa memikirkan sentimen pasaran.
Apabila keseluruhan pasaran jatuh dan harga saham yang dibeli semakin menurun, mereka merasa takut dan tidak tahu tindakan apakah yang perlu dilakukan di waktu itu. Sesetengahnya pula membuat tindakan terburu-buru termasuk juga yang tidak berbuat apa-apa. Hanya membiarkan nilai saham yang dipegang itu semakin jatuh.
Pedagang kontra yang selalu rugi apabila mereka tidak arif tentang sentimen pasaran ini. Mereka selalu mengalami kerugian kerana terpaksa melepaskan pegangan semasa pasaran mengalami proses penurunan.
Mengenali dan memahami sentimen pasaran bukan sahaja perlu dititikberatkan oleh pedagang jangka masa singkat malah semua kategori pelabur dan pedagang saham perlu ambil tahu dan membeli atau menyimpan saham mengikut sentimen atau suasana pasaran saham secara keseluruhan.
Kita pernah dengar beberapa sentimen pasaran seperti sentimen Pilihan Raya Umum (PRU) yang baru lepas, sentimen manifesto 100 hari Pakatan Harapan, sentimen perang dagang antara China dan Amerika Syarikat dan tidak lama dulu sentimen PRU Amerika Syarikat dan sentimen Brexit.
Kesemua keadaan ini telah menyebabkan pasaran saham tempatan dan juga global bertindak balas ke atas sentimen tersebut. Maka tidak dapat disangkal lagi bahawa pentingnya seseorang pelabur dan pedagang saham peka tentang isu-isu atau berita-berita utama yang menjadikannya sentimen yang bakal menggegarkan dunia saham.
Setiap perkara yang mencetuskan sentimen ini harus disusuli dengan tindakan. Sama ada tindakan melupuskan pegangan saham atau menambah pegangan saham. Dalam erti kata lain, tatkala pasaran dikuasai oleh sentimen negatif, pelabur saham perlu melupuskan pegangan atau mengurangkan pegangan saham dalam portfolio.
Sebaliknya sekiranya sentimen pasaran dikelilingi oleh banyak pemangkin positif, maka pembelian saham harus dibuat untuk mengambil peluang semasa iklim pasaran berada dalam keadaan yang baik.
Berapa lamakah sesuatu sentimen itu akan menguasai pasaran?
Untuk meramal tempoh masa atau jangka hayat sesuatu sentimen pasaran perlu melalui pembacaan, mencari sumber atau maklumat, membuat kajian tentang sesuatu sentimen berdasarkan kepada sejarah yang lepas serta meminta nasihat atau pandangan pakar penasihat pelaburan.
Tetapi sekiranya seseorang itu telah melalui pengalaman yang lama dalam pasaran saham, tidak mustahil dia sedikit sebanyak dapat membuat anggaran bila sesuatu sentimen akan berakhir mahupun bermula. Terdapat juga suatu sentimen yang sama terjadi berulang-ulang kali.
Salah satu contoh ialah dengan kedatangan juara liga bola sepak dunia yang mana sentimen pasaran pada ketika itu kurang memberangsangkan kerana semua orang memberi tumpuan kepada perlawanan bola sepak lebih-lebih lagi perlawanan merebut Piala Dunia.
Bukan sahaja rakyat negara ini menantikan saat tersebut malah satu dunia akan memberi tumpuan sepenuh masa kerana kejuaraan tersebut mengambil selang masa beberapa tahun untuk diadakan. Sudah pasti ia saat yang ditunggu-tunggu dan suasana pasaran saham menjadi agak suram atau urus niaga pasaran menjadi kurang rancak.
Semoga dengan mengenali dan memahami sentimen pasaran, para pembaca dapat membuat tindakan yang bijak dalam pelaburan dan perdagangan saham.











