KANGAR – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Mata Ayer, Siti Berenee Yahaya menganggap kenyataan Setiausaha Barisan Nasional (BN) Perlis, Datuk Zahidi Zainul Abidin yang tetap dengan pendirian untuk membawa isu pelantikan Menteri Besar ke mahkamah sebagai tindakan yang bersifat peribadi.
Sebaliknya, beliau menegaskan, kemelut itu telah berakhir apabila kesemua sembilan wakil rakyat BN telah menyatakan pendirian menyokong Datuk Seri Azlan Man sebagai Menteri Besar Perlis seperti mana telah diperkenankan oleh Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail.
“Kami semua telah akur dan memberi sokongan (pelantikan Azlan) dan tidak ingin perkara ini dipanjangkan lagi.
“Kenyataan Zahidi yang ingin membawa isu tersebut ke mahkamah hanya kenyataan peribadi kerana wakil rakyat lain semua telah akur dengan titah Tuanku Syed Sirajuddin,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Zahidi yang dipetik laporan portal berita hari ini tetap berkeras akan membawa isu pelantikan Azlan ke mahkamah dengan alasan pelantikan ADUN Bintong itu bercanggah dengan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Perlis iaitu dibawah Fasal 39(6) yang menyatakan Menteri Besar harus meletakkan jawatan jika tidak mendapat sokongan.
Zahidi menyifatkan isu tersebut masih belum berakhir dan menganggap kenyataan ADUN Chuping, Asmaiza Ahmad berhubung perkara tersebut sebelum ini hanya pandangan peribadi yang tidak mewakili semua sembilan ADUN BN di Perlis.
Asmaiza sebelum ini dilaporkan berkata, kesemua sembilan ADUN BN telah sepakat membuat keputusan bersama untuk menjunjung titah Tuanku Syed Sirajuddin berhubung pelantikan Azlan sebagai Menteri Besar.
Dalam perkembangan berkaitan, Siti Berenee berharap kemelut tersebut tidak lagi berpanjangan kerana fokus sekarang ialah memberi perkhidmatan terbaik kepada rakyat.
“Kita juga sudah berjumpa Azlan (baru-baru ini) dan semuanya dalam keadaan positif selain kita akan memberi kerjasama sepenuhnya,” katanya.
Pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14), BN memenangi 10 daripada 15 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Perlis membolehkan parti itu membentuk kerajaan negeri.
Namun berlaku konflik apabila sembilan ADUN BN tidak hadir pada majlis pelantikan Azlan Man sebagai Menteri Besar yang menyebabkan pembentukan kerajaan negeri tertangguh hampir sebulan.
Azlan Man menjadi Menteri Besar Perlis bagi penggal kedua selepas PRU-14. – K! ONLINE











