RANTAU PANJANG 17 Jun – Kementerian Pertahanan tekad memperkasakan lagi kebajikan anggota dan bekas Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di negara ini bagi memboleh golongan berkenaan mendapat lebih banyak manfaat.
Menterinya, Mohamad Sabu berkata, perkara itu sejajar dengan proses pemulihan ekonomi yang sedang diusahakan Kerajaan Pakatan Harapan ketika ini.
Menurutnya, berpandukan kepada penelitian yang dibuat mendapati kebanyakan perajurit bersara pada umur 41 tahun.
“Umur sebegini sebenarnya masih awal untuk memegang pencen kerana mereka masih mempunyai tenaga untuk bekerja selain tahap kesihatan di negeri ini yang makin meningkat.
“Jadi sebab itulah, kita akan beri penekanan terhadap perkara tersebut,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri Bersama Warga ATM di Markas Tektikal Pos Tok O di sini hari ini.
Mohamad memberitahu, aspek kebajikan yang akan diberikan penekanan oleh beliau merangkumi perumahan, persekolahan dan pendidikan untuk anak-anak tentera.
Katanya, latihan bagi anggota ATM yang akan menamatkan perkhidmatan turut diberikan keutamaan.
“Sebab itulah kita akan terus berusaha untuk tingkatkan aspek kebajikan mereka dan sekiranya ekonomi pulih, saya akan mohon peruntukan tambahan daripada kerajaan untuk membela anggota serta bekas tentera,” ujarnya.
Tambahnya, aspek kenaikan pangkat dan gaji akan turut diberikan keutamaan oleh beliau bagi memastikan kebajikan warga ATM terbela. – UTUSAN ONLINE










