AKSI penuh debar, penyerang Harry Kane berjaya menjaringkan gol kemenangan dramatik pada masa kecederaan membantu England menewaskan Tunisia 2-1 pada aksi pembukaan Kumpulan G Piala Dunia 2018 di Arena Volgograd awal pagi semalam.
Terdahulu, kapten pasukan The Three Lions itu melakukan jaringan menerusi rembatan kencang untuk mendahului perlawanan pada minit ke-11 sebelum sekali lagi melakukan tandukan padu hasil hantaran Kieran Trippier (m-91) untuk meraih tiga mata penting buat England dalam Kumpulan G.
Kemenangan England sebelum itu hampir diragut dengan penalti kontroversi yang dihadiahkan oleh pengadil perlawanan selepas pemain pertahanan, Kyle Walker menyiku penyerang Tunisia, Fakhreddine Ben Youssef kira-kira 10 minit sebelum tamat separuh masa pertama. Sepakan penalti tersebut berjaya disempurnakan oleh Ferjani Sassi untuk keputusan 1-1.
Bagaimanapun, tandukan Kane untuk gol kedua England secara tidak langsung menyaksikan pasukan kendalian Gareth Southgate mencatatkan kemenangan buat pertama kali bagi aksi pembukaan dalam kejohanan besar sejak menewaskan Paraguay pada Piala Dunia 2006 di Jerman.











