ANGAR 3 Jun – Majlis Bekas Wakil Rakyat Malaysia (Mubarak) negeri menasihatkan wakil rakyat Barisan Nasional (BN) supaya bersama-sama dalam pentadbiran Menteri Besar, Datuk Seri Azlan Man sekali gus menyelesaikan segala kemelut yang berlaku.
Yang Dipertuanya, Datuk Seri Dr. Md. Isa Sabu berkata, selesailah perkara tersebut dengan baik demi kepentingan rakyat selain berhenti mengikut telunjuk individu-individu tertentu yang hanya akan menyebabkan masalah terus berlarutan.
Beliau berkata, kesemua wakil rakyat terbabit perlu menjunjung titah Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail yang telah berkenan memilih Azlan yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bintong sekali lagi sebagai Menteri Besar.
“Buat tindakan secara positif bukannya disebabkan kepentingan peribadi. Jika masalah ini terus berlarutan ia akan membuang masa rakyat yang telah memberi amanah kepada kita.
“Rakyat Perlis sangat berharap masalah ini akan dapat segera diselesaikan dengan baik,” katanya ketika ditemui, di sini hari ini.
Kemelut Menteri Besar yang berlarutan hampir sebulan menampakkan perkembangan positif untuk selesai apabila lapan wakil BN menghadap Tuanku Syed Sirajuddin di Istana Arau, di sini hari ini.
Difahamkan lapan wakil rakyat tersebut mempersembahkan permohonan maaf kepada Tuanku Syed Sirajuddin berhubung tindakan mereka ‘memulau’ majlis pelantikan Azlan sebagai Menteri Besar sebelum ini.
Malah mereka juga dikatakan telah sepakat menjunjung titah Raja Perlis berkaitan soal perlantikan Menteri Besar itu.
Sebelum ini, isu pelantikan Menteri Besar mendapat perhatian meluas media-media massa kerana semasa pelantikan Azlan yang diperkenankan Tuanku Syed Sirajuddin untuk memegang jawatan itu di Istana Arau dekat sini pada 24 Mei lalu, kesemua sembilan ADUN BN itu tidak menghadirinya.
Sementara itu, Md. Isa meminta Presiden UMNO selepas ini melantik Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri dalam kalangan mereka yang menjadi Menteri Besar.
“Hal demikian penting supaya politik dan pentadbiran dapat bergerak seiring selepas ini. Jika perkara ini tidak dipandang serius, masalah yang melanda UMNO negeri ini tidak akan selesai,” katanya yang juga bekas Menteri Besar. – UTUSAN ONLINE










