TEGUCIGALPA, Honduras – Sepasang kembar siam yang lahir baru-baru ini kemungkinan besar berdepan kesukaran untuk dipisahkan kerana berkongsi hati dan jantung.
Jennifer Pamela Martinez, 27, melahirkan pasangan bayi perempuan, Maria Fernandez dan Maria Jose secara caesarean di Hospital Universiti Escuela baru-baru ini.
Pasukan doktor memberitahu, mereka tidak boleh memisahkan bayi kembar siam itu kerana khuatir salah seorang akan mati.
Pasangan kembar itu kini ditempatkan dalam jagaan intensif termasuk terpaksa bergantung kepada bantuan alat pernafasan.
Jennifer yang merupakan ibu kepada empat orang anak dan suaminya bagaimanapun nekad mendapatkan pendapat kedua mengenai cara untuk memisahkan bayi perempuan mereka dengan selamat termasuk mendapatkan khidmat daripada doktor pakar dari luar negara.
Walaupun kedudukan tubuh bayi kembar siam itu menghadap satu sama lain, namun mereka dapat makan dengan baik, demikian menurut pihak hospital.
Pada Januari lalu satu pasangan kembar siam, Anna Grace dan Hope Elizabeth Richards dari Texas, Amerika Syarikat yang berkongsi dada dan abdomen berjaya dipisahkan oleh pasukan doktor. – Agensi










