KUANTAN 9 Jun – Kecuaian penghuni rumah yang lupa menutup api dapur dan peralatan elektrik ketika menyediakan hidangan menjadi antara faktor peningkatan kejadian kebakaran pada musim perayaan.
![]() |
|
AMER YUSOF
|
Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Datuk Amer Yusof berkata, berdasarkan statistik dan kajian, pihaknya mendapati kebakaran yang banyak berlaku pada musim perayaan dapat dielakkan jika tiada unsur kecuaian dilakukan penghuni.
Menurutnya, jumlah kebakaran yang meningkat pada musim perayaan disebabkan beberapa faktor antaranya kemungkinan pemilik rumah tidak melakukan persediaan rapi apabila hendak pulang ke kampung seperti terlupa menutup peralatan elektrik.
“Situasi ini sentiasa berlaku apabila mereka meninggalkan rumah tanpa membuat pemeriksaan keselamatan sebelum keluar.
“Selain itu, cara masakan terutama suri rumah, ada antara mereka yang meninggalkan api ketika memasak atau tertidur semasa membuat kuih,” katanya ketika ditemui selepas melancarkan Kempen Keselamatan dan Op Raya peringkat JBPM negeri di sini semalam.
Yang turut hadir, Pengarah JBPM negeri, Datuk Abdul Wahab Mat Yasin dan Timbalannya, Mohd. Sani Harul.
Dalam pada itu, Amer memberitahu, pihaknya melakukan pemantauan dan pemeriksaan di kawasan berisiko seperti pasar raya bagi mengelakkan berlakunya sebarang kejadian tidak diingini termasuk kebakaran premis dan bangunan.
“Ini adalah sebagai langkah persediaan. Kita akan membuat pemeriksaan ke atas premis dan mengeluarkan notis kepada pengusahanya supaya mematuhi peraturan dan mengambil langkah berjaga-jaga,” ujarnya.
Sementara itu, Abdul Wahab pula menjelaskan, sebanyak 130 premis di negeri ini diperiksa sempena Ramadan dan Hari Raya Aidilfitri.
Ujarnya, jabatan itu turut bekerjasama dengan pasukan keselamatan lain antaranya Polis Diraja Malaysia (PDRM) sempena Op Raya kali ini yang meletakkan tiga lokasi tetap sebagai persediaan menghadapi sebarang kejadian.
“Tiga lokasi itu adalah di kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Gambang, Temerloh dan Genting Sempah.
“Seramai 10 anggota bertugas bagi setiap syif dengan kekuatan dua jentera. Jadual ditetapkan adalah 12 jam bagi setiap syif,” ujarnya.












