FLORENCE, Itali – Pelumba ujian Ducati, Michele Pirro dikejarkan ke hospital di Careggi, Florence selepas terbabit dengan insiden kemalangan dahsyat pada sesi latihan di Litar Mugello menjelang perlumbaan Kejuaraan Motosikal Dunia (MotoGP) Grand Prix (GP) Itali kelmarin.
Pirro, 31, hilang kawalan ketika menunggang jenteranya dengan kelajuan 350 kilometer sejam (km/j) menyebabkannya melambung ke udara sebelum jatuh terhempas di atas litar serta terseret dan pengsan serta- merta.
Pelumba dari Itali itu dikatakan sudah sedar, boleh bercakap dan mampu menggerakkan anggota badannya tetapi masih perlu menjalani beberapa ujian sebelum dia dibenarkan keluar daripada hospital.
“Pirro mengalami gegaran pada bahagian kepalanya dan disebabkan itu dia tidak sedarkan diri tetapi kini sudah sedar semula,” kata doktor yang merawatnya, Michele Zasa.
Pengarah Sukan Ducati, Paolo Ciabatti menjelaskan, keadaan itu menyebabkan Pirro tidak mampu berlumba pada perlumbaan malam tadi.
“Dia mengalami gegaran serius selain kecederaan di tengkuk, dada, belakang badan serta bahu yang terseliuh. Doktor mengesahkan dia tidak sesuai untuk menyertai perlumbaan,” katanya.
Dalam perkembangan sama, pelumba Octo Pramac Ducati, Danilo Petrucci memberitahu, kemungkinan insiden tersebut berlaku adalah disebabkan masalah pada brek hadapan jentera yang ditunggang Pirro.
Namun, pasukan Ducati enggan membuat spekulasi mengenai punca kemalangan tersebut selagi tidak mengkaji data daripada jentera Pirro. – Agensi










