KUALA LUMPUR 30 Jun – Sebelum ini, pasangan pelakon Katie Holmes dan Jamie Foxx sangat berahsia tentang hubungan cinta mereka.
Walaupun sering dilihat berdua-duaan, mereka tidak pernah memberikan kenyataan rasmi mengenai status sebenar hubungan tersebut.
Namun, baru-baru ini timbul gosip menyatakan bahawa cinta Holmes dan Foxx sudah berakhir. Berita dari Radar Online itu melaporkan Holmes yang ingin mengakhiri hubungan itu.
Sehari selepas laporan tersebut, buat kali pertama Holmes tampil memberikan kenyataan mengenai hubungan mereka.
Jurucakapnya, Leslie Sloane berkata kepada People, Holmes menafikan perkara berkenaan.
“Berita yang dikeluarkan oleh Radar Online 100 peratus tidak benar,” ujarnya ringkas.
Ternyata kenyataan singkat itu menjelaskan bahawa hubungan Holmes dan Foxx tidak berdepan sebarang masalah dan berlangsung dengan baik.
Pasangan tersebut dikhabarkan mula rapat pada tahun 2013 namun mereka tidak pernah bersuara tentang sejauh mana hubungan tersebut. – UTUSAN ONLINE











