BANGKOK 9 Jun – Aplikasi pemesejan Line ala WhatApps tetapi popular dengan karakter watak tertentu, akan membina sebuah taman tema bagi menghargai sokongan pengguna Thailand.
Tindakan itu bertujuan menghargai kewujudan seramai 40 juta pengguna setia di negara ini.
Berkonsepkan tema berwarna-warni dan kreatif, ‘Perkampungan Line’ yang dibangunkan di atas kawasan seluas 1,500 meter persegi di Bangkok bakal menjadikan pengunjung teruja untuk merasai ‘dunia Line’.
Karakter popular seperti Brown dan Choco akan ditempat dalam bilik pameran khas dan diselitkan butiran mengenai kedua-dua watak berkenaan.
Selain itu, cermin dan skrin interaktif turut ditempatkan di taman tema terbabit bagi menambahkan lagi warna-warni setiap karakter selain memberi peluang kepada pengunjung untuk merakamkan kenangan di sana.
“Konsep Perkampungan Line adalah sebenarnya membawa karakter Line ke dunia realiti.
“Seperti…Brown, sekiranya anda pergi ke bilik tidurnya, terdapat kawasan hutan, di situ ada pelbagai aktiviti, baik fizikal dan digital,” kata Penasihat Eksekutif taman tema berkenaan, Rupop Shinawatra.
Tambah Rupop, konsep terbabit adalah yang pertama seumpamanya di negara ini.
Hampir dua pertiga daripada 68 juta penduduk Thailand menggunakan Line.
“Orang Thailand merupakan peminat media sosial…Line menghubungkan sekumpulan manusia, ia adalah komunikasi yang berterusan,” ujar Rupop. – AFP











