VOLGOGRAD 19 Jun – Harry Kane bangga dengan pencapaian England selepas dia menjaringkan dua gol untuk membantu pasukannya menumpaskan Tunisia dalam perlawanan pembukaan mereka bagi kempen Piala Dunia.
Ketua pasukan England itu menjadi penyelamat pasukannya daripada berkongsi satu mata dengan Tunisia apabila jaringan keduanya pada masa kecederaan membolehkan Three Lions meraih kemenangan 2-1 dalam aksi Kumpulan G Piala Dunia 2018 di Volgograd Arena hari ini.
Kane kemudian berkata, England sebenarnya mampu mendapatkan beberapa gol lagi dalam perlawanan tersebut.
“Kami bermain dengan baik pada separuh masa pertama malah semua pemain telah bermain dengan bagus terutama pada penghujung separuh masa kedua.
“Pasukan lawan juga beraksi dengan baik kerana berjaya mengekang peluang kami untuk menambah jaringan, tetapi secara keseluruhannya saya gembira dengan keputusan hari ini,” katanya.
England bermula dengan baik apabila Kane menjaringkan gol pada minit ke-11 hasil rembatan kencang kaki kanan.
Gol itu berpunca daripada tandukan kencang John Stones yang menyambar sepakan sudut Ashley Young, dan walaupun penjaga gol Mouez Hassen pantas menerpa ke hujung gawang untuk menepis tetapi bola jatuh ke kaki Kane yang menyepak masuk dari jarak dua meter.
Hassen sebelum itu turut cemerlang dan telahpun menerima rawatan kerana cedera sebelum jaringan itu. Kecederaannya semakin teruk yang menyebabkan dia menangis apabila Farouk Mustapha masuk menggantikannya.
Walau bagaimanapun, jaringan itu tidak membuatkan Tunisia tertekan, sebaliknya mereka melancarkan serangan balas ke gawang England.
Three Lions akhirnya membuat kesilapan apabila menghadiahkan sepakan penalti kepada skuad Carthage Eagles pada minit ke-35 setelah Kyle Walker mengkasari Fakhreddine Youssef.
Penalti tersebut dimanfaatkan dengan baik oleh pemain tengah Tunisia, Ferjani Sassi menerusi rembatan kencang kaki kanan ke arah kiri sudut gawang England untuk menewaskan penjaga gol Jordan Pickford.
Gol penyamaan tersebut telah membuatkan England tertekan manakala Tunisia dilihat cuba bermain secara bertahan berbanding skuad Three Lions.
Usaha Tunisia untuk mengekalkan kedudukan seri 1-1 bagaimanapun tidak berhasil apabila Kane meledak gol kedua England pada minit ke-91 menerusi tandukan Kane dari jarak empat meter ke arah kiri sudut gawang Tunisia selepas mendapat hantaran daripada Harry Maguire hasil sepakan sudut.
England akan menentang Panama pada Ahad ini manakala Tunisia bertemu Belgium sehari sebelum itu. – AGENSI











