RAKAN-RAKAN di sekolah sering mengejek Yatzyri, 6, dengan memanggilnya si gemuk.
Keadaan itu telah mencetuskan kemarahan ibunya, Ana Laura Martinez yang risau dengan kesihatan anak perempuannya itu.
Kanak-kanak tersebut perlu menurunkan berat badannya kepada 16 kilogram (kg).
Namun Martinez memaklumkan, walaupun berat badan anaknya itu mencecah 38kg, ujian kesihatan mendapati dia tidak mempunyai tanda-tanda penyakit diabetes.
Diabetes merupakan penyakit keturunan bagi keluarga Martinez dan penyakit utama dalam kalangan rakyat di Mexico.
“Saya merupakan penghidap diabetes. Ayah saya meninggal dunia pada usia sangat muda iaitu 39 tahun disebabkan oleh penyakit itu, nenek juga meninggal dunia kerana diabetes.
“Ibu saya dan abang turut memilikinya (diabetes). Ia adalah penyakit keluarga,” kata Martinez ketika berada di klinik obesiti Hospital Kanak-Kanak Federico Gomez, Mexico.
Dia berharap klinik itu dapat membangunkan pelan diet untuk Yatzyri yang sukakan spageti, jagung dan snek yang dijual di tepi jalan.
Kata pakar pemakanan pediatrik, Teresa Siliceo, kebanyakan kanak-kanak di klinik itu yang sebahagian besarnya berasal daripada keluarga berpendapatan rendah sudah menunjukkan tanda-tanda pengambilan suntikan insulin.
“Apabila mereka meningkat remaja, sekitar satu pertiga daripada mereka cenderung untuk mendapat penyakit diabetes jenis 2, yang boleh menyebabkan kebutaan, kegagalan buah pinggang dan amputasi,” katanya.
Kebanyakan kanak-kanak di Mexico sudah memakan makanan orang dewasa seawal usia dua tahun.
Antara puncanya adalah kerana lambakan makanan ringan di sekolah dan tiada sekatan iklan.
Tabiat
Penganiayaan lain yang berlaku kepada mereka adalah apabila anak-anak itu membesar dengan keluarga yang sering mengumpan mereka dengan makanan ringan.
“Ia sudah menjadi budaya apabila kita ingin menukar atau mengubah suai tabiat serta rutin, kita mempunyai banyak masalah dengan nenek atau bapa,” tambah Siliceo lagi.
Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), secara global kira-kira 40 peratus orang dewasa berlebihan berat badan dan 13 peratus gemuk.
Sementara itu, ahli pemakanan yang sedang membangunkan aplikasi untuk membantu kanak-kanak gemuk menurunkan berat badan berkata, mempunyai wang untuk makan di luar dan di kedai jalanan turut menyumbang kepada masalah obesiti.
Sebagai salah sebuah negara yang mempunyai penduduk paling gemuk di dunia dengan lebih daripada 70 peratus orang dewasa serta sepertiga kanak-kanak berlebihan berat badan atau obes, Mexico bertindak sebagai siren awal untuk negara-negara di seluruh dunia yang berjuang mengawal kadar obesiti bagi rakyat di negara masing-masing.
Namun, sesetengah penduduk Mexico mengakui sukar mengawal berat badan kerana mereka mengamalkan diet vitamin T yang merujuk kepada makanan ruji iaitu taco, tortas dan tamales.
Tambahan pula, kedudukan Mexico sebagai salah sebuah negara pengeluar minuman ringan terbaik di dunia telah meningkatkan lagi kecenderungan menghidap penyakit berkenaan.
“Apabila anda dapat mengubati obesiti, anda sudah terlambat. Satu-satunya cara untuk menyelesaikannya ialah dengan langkah pencegahan.
“Tidak ada cara lain mahu menyelesaikan masalah penduduk yang sudah gemuk. Kanak-kanak itu tidak mungkin dapat menurunkan berat badan mereka sendiri,” kata seorang doktor pakar yang mengendalikan klinik obesiti kanak-kanak, Salvador Villalpando.
Oleh yang demikian, Mexico perlu mengadakan kempen kesihatan awam dan memberi pendidikan nutrien kepada kanak-kanak di negara itu.
Kanak-kanak perlu menukar makanan manis kepada bijirin. Tumpuan yang lebih besar terhadap diet berkekalan juga dapat membantu petani menggunakan teknologi yang lebih baik untuk menanam pelbagai jenis tanaman dengan impak alam sekitar yang rendah.
“Satu kilogram buah mandarin sama dengan 600 mililiter Coca-Cola atau beberapa gram cip kentang. Ini adalah pendidikan dan pengetahuan,” kata ketua kumpulan pengguna El Poder del Consumidor, Alejandro Calvillo.
Pasukannya sedang mendesak kerajaan Mexico untuk mengetatkan sistem label pada makanan supaya memenuhi garis panduan WHO dan tidak melanggar hak kesihatan kecuali jika Mexico mahu membayar bil-bil kesihatan yang semakin meningkat pada masa hadapan.
Rawatan
Setakat ini, Mexico membelanjakan AS$5 bilion (RM20 bilion) setahun untuk membiayai kos rawatan kesihatan awam dan keluarga yang menghadapi penyakit itu.
Dalam pada itu, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu menganggarkan, kos menangani populasi berlebihan berat adalah AS$13 bilion (RM52 bilion) setahun dalam enam dekad yang akan datang.
Diabetes telah menjejaskan kesihatan sehingga 14 peratus daripada orang dewasa dan membunuh sekitar 100,000 orang setahun.
“Bagi keluarga miskin yang tinggal dalam komuniti luar bandar, mereka mungkin tidak mampu mendapatkan rawatan kesihatan yang baik,” kata perunding kesihatan awam IMCO, Fatima Masse. – Reuters










