KOTA KINABALU 22 Jun – Seorang kanak-kanak lelaki warga Filipina yang dilaporkan hilang sejak Selasa lalu ditemukan maut dipercayai akibat terkena renjatan elektrik di sebuah kawasan semak di Bandar Lee Tat di sini semalam.
Mayat kanak-kanak berusia 7 tahun itu ditemukan pada pukul 2 petang oleh orang ramai yang melalui kawasan berkenaan sebelum melaporkannya kepada pihak polis.
Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Mohd. Azhar Hamin berkata, menurut keluarga mangsa, kanak-kanak terbabit dikatakan keluar dari rumah untuk bermain pada Selasa lalu, namun tidak pulang ke rumah selepas itu.
“Sehingga pukul 6.30 petang mangsa masih tidak pulang ke rumah, lalu keluarganya segera mencari mangsa, namun tidak dijumpai.
“Mayat mangsa hanya ditemukan oleh orang ramai semalam yang kebetulan melalui kawasan semak berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Menurut beliau, hasil pemeriksaan oleh pakar perubatan mendapati kesan terbakar di tapak kaki kiri mangsa yang dipercayai akibat terkena renjatan elektrik.
“Keluarga mangsa telah melakukan proses pengecaman. Tiada sebarang unsur jenayah dikesan dan kes ini diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” tambahnya.










