MUKADIMAH: Pada 14 Julai tahun lalu, tentera Israel melakukan provokasi ke atas umat Islam Palestin apabila menghalang mereka daripada menunaikan solat Jumaat di Masjid Al-Aqsa. Tindakan rejim zionis itu membangkitkan kemarahan umat Islam di seluruh dunia.
Lanjutan itu tentera Israel membuka semula masjid suci ketiga umat Islam tersebut tetapi mengenakan sekatan iaitu melarang laungan azan selain mengarahkan warga Palestin melalui pagar elektronik di pintu Bab Al Asbatt – pintu utama ke Masjid Al-Aqsa. Sebagai tanda protes, dengan diketuai Imam Besar Masjid Al-Aqsa, SHEIKH DR .EKRIMA SAED SABRI, mereka menunaikan solat Jumaat di pekarangan masjid berkenaan.
Pada 19 Julai, Sheikh Dr. Ekrima cedera ditembak peluru getah oleh tentera Israel selepas berlaku kekecohan melibatkan kedua-dua belah pihak. Kini selepas hampir setahun berlalu dalam pertemuan dengan wartawan Mingguan Malaysia, ZULKIFLEE BAKAR di Baitulmuqaddis, baru-baru ini bekas Imam Palestin itu memberikan pandangannya berhubung perkembangan terbaru di bumi Palestin tersebut.
Dalam wawancara yang diterjemah oleh Eksekutif Perhubungan Luar MYAQSA , MD.SAIFUL AZURAN MD. NAWI, Sheikh Dr. Ekrima melahirkan harapan agar rakyat Malaysia akan terus memberi sokongan kepada perjuangan rakyat Palestin yang kini terus dijajah rejim zionis.
![]() |
|
|
MINGGUAN: Apakah pendirian rakyat Palestin terhadap rejim zionis setelah setahun berlaku peristiwa rampasan Masjid Aqsa oleh tentera Israel?
SHEIKH DR.EKRIMA: Pendirian kami terhadap penjajah (zionis), terutama selepas peristiwa kejatuhan Masjid Aqsa pada 17 Julai 2017, kami lihat penjajah ingin melakukan tindakan balas dendam terhadap rakyat Palestin secara umumnya dan terhadap tanah wakaf umat Islam iaitu Masjid Aqsa secara khusus.
Bagaimananpun ia tidak bermakna mereka mampu menutup masjid itu atau mampu menguasainya. Masjid Al-Aqsa akan kekal dikuasai umat Islam dan kami yakin mereka akan terus gagal untuk menguasai masjid suci umat Islam tersebut.
Apakah respons rakyat Palestin apabila Amerika Syarikat (AS) memindahkan kedutaan mereka ke Baituluqaddis dan kesannya kepada perjuangan umat Islam?
SHEIKH DR. EKRIMA: Pemindahan Kedutaan AS dari Tel Aviv ke Baitulmuqaddis, bukan sahaja merupakan satu ‘rempuhan’ atau pencerobohan kepada penduduk Palestin semata-mata bahkan ia merupakan ‘rempuhan’ ke atas umat Islam keseluruhannya. Kami sama sekali tidak bersetuju dengan pemindahan tersebut dan telah menyatakan bantahan berhubung tindakan kuasa besar berkenaan.
Walaupun tindakan pemindahan itu mewujudkan ketegangan penduduk Palestin dengan penjajah zionis, namun pemerintah AS dan rejim zionis tetap tidak mempedulikannya. Lanjutan daripada itu kerajaan zionis semakin berani melaksanakan agenda ‘meyahudikan’ rakyat Palestin dan melakukan pelbagai bentuk kekejaman terhadap penduduk di Baitulmuqaddis.
Namun apa ingin kami tegaskan penjajah zionis tidak memiliki apa-apa kuasa untuk menukar realiti semasa di Baitulmuqaddis. Kami juga ingin tegaskan kota al-Quds (Baitulmuqaddis) sedang dijajah. Oleh itu apa sahaja yang dilakukan oleh penjajah zionis adalah bercanggah justeru kami sama sekali tidak pernah menerima segala tindakan dan perancangan yang mereka lakukan.
Ia sama seperti mana ditegaskan oleh UNESCO bahawa Baitulmuqaddis adalah tanah terjajah, oleh itu apa sahaja tindakan dilakukan pihak penjajah adalah tidak boleh diterima sama sekali.
Adakah rakyat Palestin menerima bantuan dari negara luar sama ada dalam bentuk material mahupun sokongan lain?
SHEIKH DR.EKRIMA: Negara-negara besar diketuai AS berjaya membuatkan negara Islam dan dunia Arab sibuk dengan masalah dalaman mereka, malah di sesetengah negara Islam tercetus pertumpahan darah akibat berbalah sesama sendiri. Semua itu adalah agenda AS yang dilaksanakan melalui apa yang dipanggil “kacau bilau yang terancang”.
Agenda itu bertujuan mengalih pandangan negara Islam dan dunia Arab terhadap penjajahan dan kekejaman rejim zionis terhadap rakyat Palestin. Oleh kerana dunia Arab sibuk dengan urusan dalaman masing-masing, ia membuka ruang seluas-luasnya kepada penjajah zionis untuk terus menjajah dan melakukan apa sahaja kepada rakyat Palestin.
Berikutan keadaan itu kami tidak dapat menaruh harapan kepada mereka buat masa ini bagi memperjuangkan nasib rakyat Palestin kerana mereka sendiri berada dalam keadaan lemah. Akibatnya kompas ke arah Masjidil Aqsa sudah berpaling arah.
Bagaimanapun kami sama sekali tidak akan lemah semangat apatah lagi tunduk kepada tekanan rejim zionis, kami yakin kepada diri sendiri dan memohon pertolongan Allah. Melalui semangat ini untuk sementara kami tidak meletakkan harapan kepada sesiapa lagi bagi membantu menentang kekejaman rejim. Kami akan teruskan perjuangan suci ini tidak kira sehebat manapun tekanan yang mereka berikan.
Adakah pemindahan Kedutaan AS itu akan memungkinkan ibu negara Israel akan dipindahkan ke Baitulmuqaddis?
SHEIKH DR.EKRIMA: Ya! Mungkin Israel akan memindahkan juga ibu kota mereka ke Baitulmuqaddis sejajar dengan pemindahan Kedutaan AS, namun ia tidak akan mengubah nilai al-Aqsa kepada kami. Sebagaimana yang telah kami katakan, ini merupakan satu penjajahan dan tidak boleh diterima sama sekali termasuklah oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang tidak pernah mengiktiraf al-Quds sebagai ibu negara Israel hingga sekarang.
Walaupun AS menyokong Israel berbuat demikian tetapi seluruh dunia tidak pernah mengiktirafnya. Oleh itu Israel tetap dianggap penjajah sekalipun AS menyokong dan berdiri teguh bersama Israel. Apa yang pasti hak kami jelas dan kami menolak segala bentuk tindakan yang dilakukan AS dalam isu ini. Kami juga sudah menyatakan dengan tegas, AS kini dalam dilema dalam merealisasikan apa yang dipanggil deal of the century atau pelan baru AS kerana wujudnya penentangan kuat.
Kami juga ingin nyatakan kepada penjajah bahawa mereka tidak akan mampu meneutralisasi kami, tidak mampu menundukkan bangsa kami (umat Islam). Ia sudah kami buktikan ketika Ramadan apabila berpuluh-puluh ribu umat Islam sama ada dalam mahupun luar datang berhimpun untuk menunaikan solat Jumaat, solat Isyak, tarawih dan solat subuh di Masjid Aqsa. Ini memberikan kepastian dan keyakinan bahawa umat Islam Palestin tetap memperjuangkan hak mereka seperti mana termaktub dalam agama.
Jika berlaku juga pemindahan ibu negara Israel ke Baitulmuqaddis, apa respons rakyat Palestin?
SHEIKH DR. EKRIMA: Itu tidak akan mengubah apa yang kami perjuangkan sekarang. Ini kerana isu utama ialah mereka ingin merampas al-Quds (Masjid Aqsa), sama ada mereka pindahkan ibu negara ke sini atau tidak, masalah utama sekarang tetap sama. Ini kerana Yahudi ingin ‘meyahudikan’ penduduk Palestin.
Agenda utama Yahudi ialah menguasai Baitulmuqaddis sama ada ia menjadi ibu negara atau tidak. Itu misi mereka yang mahu dicapai dengan apa cara sekali pun, biarpun menindas dan melakukan kekejaman ke atas rakyat Palestin.
Apakah persediaan rakyat Palestin jika pemindahan itu berlaku?
SHEIKH DR. EKRIMA: Kami tetap membantahnya. Dengan segala kekuatan ketenteraan yang mereka ada, kami mungkin tidak mampu menghalang mereka, ertinya secara zahirnya kami tidak mampu membuat penentangan, kerana kemampuan kita juga terhad. Isu al-Quds bukan hanya tanggungjawab rakyat Palestin sahaja.
Selama mana negara Islam tidak mengambil berat tentang isu al-Aqsa, kami tidak mampu mengubah apa-apa di Baitulmuqaddis. Apa yang boleh kami lakukan ialah memastikan kami dan badan-badan kebajikan kekal berada di sini untuk menjaganya, itu sahaja. Tetapi perjuangan kami untuk membebaskan Baitulmuqaddis sama sekali tidak akan luntur, biarpun terpaksa berjuang sendirian
Perjuangan rakyat Palestin amat bergantung kepada generasi muda, setakat ini sejauh manakah kesedaran dalam kalangan pemuda Palestin dalam berhadapan dengan dakyah naturalisasi oleh puak Yahudi?
SHEIKH DR.EKRIMA: Golongan muda kami amat mencintai bumi Baitulmuqaddis dan al-Aqsa, buktinya, wujud penentangan dan kebangkitan mereka, ramai yang mati syahid. Tidak dapat dinafikan ada sebilangan kecil pemuda yang tersasar dari aspek akhlak dan jati diri kesan daripada penjajahan. Ia satu perkara tidak boleh dinafikan dan sememangnya berlaku.
Tetapi situasi ini bukan sahaja berlaku di Palestin, di mana-mana negara, ada golongan pemuda mereka yang menyimpang dan tersasar. Bagaimanapun majoriti di Palestin teguh dalam mendapatkan hak mereka sama ada melalui kenyataan agama atau tidak.
Seperti mana yang kami tegaskan, generasi sekarang lebih mantap berbanding generasi sebelum ini. Keadaan ini juga menafikan dakwaan Israel bahawa generasi tua telah meninggal dan generasi muda melupakan perjuangan. Kami tegaskan memang golongan tua telah meninggal kerana itu adalah sunnah Allah secara azali bahawa yang tua akan mati tetapi generasi mendatang ini lebih baik daripada generasi sebelumnya.
Mereka tidak melupakan sejarah bahkan membuktikan mereka lebih baik, terutamanya sanggup menggadai nyawa dan masih terus menerus menggapai syahid. Tiada istilah takut atau gentar di hati mereka dalam membebaskan bumi Palestin. Semangat itu terus bersemarak biarpun saban hari kekejaman demi kekejaman terus dilakukan oleh rejim zionis.
Pesanan kepada umat Islam Malaysia?
SHEIKH DR.EKRIMA: Umumnya kita telah mengetahui pendirian kerajaan Malaysia dan rakyatnya terhadap isu Palestin sejak dulu hingga kini. Umat Islam Malaysia sangat cintakan al-Quds dan Masjid Aqsa. Dalam setiap isu yang berlaku melibatkan Palestin, mereka akan bangkit tanpa rasa gentar memberikan sokongan.
Kami amat mengharapkan agar Malaysia berterusan menyokong kami sekalipun berlaku perubahan terhadap politik Malaysia masa kini tetapi apa yang penting pendirian politik mereka terhadap isu Palestin tetap tidak berubah.
Ada apa-apa Dr. mahu sampaikan kepada umat Islam Malaysia sempena Aidilfitri?
SHEIKH DR.EKRIMA: Wahai saudara-saudaraku yang dikasihi, seluruh rakyat Malaysia. Kalian seumpama adik beradik kami, semoga Allah menerima segala amalan ketaatan setelah berakhirnya bulan Ramadan Al Mubarak dan sempena kedatangan Aidilfitri yang digambarkan oleh Rasulullah SAW bahawa ia merupakan hari penganugerahan, maka terimalah segala hadiah-hadiah anda daripada Allah SWT kepada mereka yang berpuasa. Apakah hadiah itu? Hadiahnya ialah ganjaran pahala cukup besar daripada Allah SWT.
Bahagialah mereka yang berpuasa, membaca al-Quran dan bersedekah pada bulan Ramadan. Kami nyatakan kepada saudara kami, rakyat Malaysia, semoga Allah menerima segala amal ketaatan, semoga setiap tahun anda berada dalam kebaikan dan kami doakan agar kebaikan akan sentiasa bersama anda.











