TEMERLOH – Tindakan pihak tertentu cuba mengaitkan Pemangku Raja Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah menerima suapan bernilai RM1.3 bilion berhubung satu projek membayangkan wujud usaha berterusan menjatuhkan imej istana di negara ini.
Exco kerajaan negeri, Datuk Seri Mohd. Sharkar Shamsudin berkata, dakwaan ke atas Tengku Abdullah itu seolah-olah dirancang pihak tertentu selepas cubaan mengaitkan beberapa isu lain dengan institusi diraja di negeri lain termasuk Yang di-Pertuan Agong sebelum ini.
Beliau berkata, tidak mustahil serangan ke atas institusi diraja berterusan dalam usaha mempengaruhi pemikiran rakyat untuk membenci raja-raja Melayu di negara ini.
“Usaha jahat ini cuba menjatuhkan nama baik institusi diraja, sekali gus menanam rasa benci kepada raja-raja Melayu dalam kalangan rakyat Malaysia yang berbilang kaum,” katanya dihubungi Bernama hari ini.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lanchang berkata, Pemangku Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah sendiri telah menafikan dakwaan yang tersebar dalam media sosial itu dan enggan mengulas lanjut. – Bernama










