SEREMBAN 23 Jun – Beli rumah dapat kereta. Itulah tuah seorang jurutera syarikat penerbangan, Iswadi Mohamad, 38, yang memenangi sebuah kereta Honda HRV dalam cabutan ‘Live, Own & Win @ Bandar Enstek 2017’ Tabung Haji (TH) Properties, di sini hari ini.
Menurut Iswadi, keputusan untuk membeli kediaman di kawasan perumahan Bandar Enstek di sini ternyata berbaloi walaupun mengakui tidak menyangka akan memenangi hadiah utama cabutan berkenaan.
Beliau berkata, dia dan isteri, Rafidah Saimi, 38, membeli rumah di kawasan tersebut kerana tertarik dengan konsep kediaman yang moden selain dilengkapi pelbagai kemudahan asas.
“Kami merancang membeli rumah tersebut selepas memperoleh iklan yang dihantar menerusi e-mel kepada saya. Pada mulanya kami tidak tahu ada cabutan bertuah kerana sememangnya ingin membeli rumah di kawasan ini.
“Selepas membuat pembayaran 10 peratus daripada harga rumah, kami dimaklumkan bahawa kami layak menyertai cabutan bertuah yang menawarkan hadiah lumayan,” katanya ketika ditemui dalam Majlis Rumah Terbuka TH Properties di Bandar Enstek, di sini hari ini.
Cabutan bertuah itu ditawarkan kepada pembeli rumah yang menandatangani Perjanjian Jual Beli bermula 17 April sehingga 16 Oktober tahun lalu dengan pembayaran 10 peratus daripada harga rumah.
Selain kereta Honda HRV, empat lagi cabutan bertuah menawarkan kereta Perodua Alza, baucar Signature Kitchen bernilai RM30,000 dan dua baucar IKEA bernilai RM20,000 dan RM14,000.
Hadiah telah disampaikan oleh Pengarah Urusan Kumpulan TH Properties, Datuk Roszali Othman.
Menurut Roszali, seramai 25 pembeli rumah layak menyertai cabutan yang diadakan bagi menghargai pelanggan TH Properties.
Katanya, mereka terdiri daripada pembeli lima jenis rumah iaitu bermula daripada harga RM487,400 sehingga RM2 juta. – UTUSAN ONLINE










