SEBERANG PERAI – Seorang jururawat yang dalam perjalanan pulang dari bertugas maut selepas kereta dipandunya terlibat dalam kemalangan dengan sebuah lori di Jalan Hutan Petai, Simpang Ampat, Nibong Tebal di sini sebentar tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 2.30 petang itu, mangsa, Munirah Abdullah, 30, yang bertugas di Hospita Bukit Mertajam (HBM) meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan, Superintendan Shafee Abd. Samad berkata, kemalangan berlaku apabila kereta jenis Proton Persona yang dipandu mangsa itu dipercayai telah hilang kawalan.
“Kereta itu telah masuk ke laluan bertentangan dan melanggar pada bahagian hadapan sebuah lori yang tidak sempat mengelak.
“Ketika itu mangsa dalam perjalanan balik dari tempat kerjanya di HBM menuju ke rumahnya di Simpang Ampat Tasek,” katanya.
Shafee berkata, akibat kemalangan itu, mangsa meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah pada muka dan dada, manakala pemandu lori berusia 36 tahun tidak cedera.
“Mayat mangsa kemudiannya dihantar ke HBM untuk urusan bedah siasat,” katanya kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – K! ONLINE











